Jangan politikkan agama Islam, tetapi Islamkan politik demi kepentingan agama – Agong

Petikan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
27 JUN 2025

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah mengingatkan ahli-ahli politik tidak menunggang agama untuk kepentingan politik parti atau memecah-belahkan masyarakat.

“Suka saya ingatkan kepada para pemimpin masyarakat supaya tidak mempolitikkan agama Islam untuk kepentingan peribadi, tetapi mengislamkan politik demi kepentingan negara.

“Ini bermaksud, urus tadbir kerajaan mestilah mengikut landasan syariat Islam, bukannya mengikut fahaman sekular atau liberal. Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna, mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia,” titah Seri Paduka Baginda.

SAMBUTAN MA’AL HIJRAH

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Titah Diraja bersempena Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H / 2025M di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini (27 Jun).

Turut berangkat, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor.

Seri Paduka Baginda bertitah, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam memberikan contoh dan cara pemerintahan Islam sebenar, hingga berjaya menyatukan masyarakat Madinah yang berbeza suku kaum dan agama.

“Peristiwa Hijrah menyaksikan bagaimana perpaduan berjaya dibentuk melalui satu perjanjian bertulis iaitu Piagam Madinah. Di negara kita juga perpaduan rakyat yang majmuk telah dicapai melalui Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan nilai-nilai bersama seperti keadilan, kuasa, tanggungjawab dan muafakat.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua umat Islam supaya memahami tanggungjawab untuk membina tamadun yang berteraskan nilai-nilai Islam, bukannya sekadar pembangunan fizikal sahaja,” titah Seri Paduka Baginda. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *