Tipu online: Rugi hampir RM4.7 bilion sejak 2022 hingga Mei 2025

Oleh: Sholina Osman
27 JUN 2025

Kerugian akibat penipuan dalam talian (online) di negara telah mencecah hampir RM4.7 bilion sejak 2022 hingga Mei tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, angka ini membimbangkan dan menuntut tindakan tegas dan menyeluruh.

Atas keperluan ini kata beliau, Kerajaan bersetuju untuk memperluas skop fungsi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) agar merangkumi semua bentuk jenayah siber.

“Juga ditubuhkan rangkaian respons 24 jam yang digerakkan secara menyeluruh oleh pelbagai agensi Kerajaan,” katanya dalam hantaran di FB.

MEMPENGERUSIKAN MESYUARAT KHAS

Terdahulu Perdana Menteri telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) bagi meneliti langkah segera memperkukuh NSRC.

Beliau berkata, pengukuhan NSRC juga akan dilaksanakan menerusi gabungan kepakaran tempatan, penyelarasan rentas agensi dan pertambahan sumber manusia.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyegerakan pelaksanaan struktur baharu NSRC, termasuk memperjelas peranannya agar mudah difahami dan diakses oleh rakyat.

Jelas beliau, pendekatan “no wrong door” turut diguna pakai bagi memudahkan proses aduan dan bantuan.

“Saya menggesa semua agensi untuk bertindak lebih proaktif dan berpandangan jauh dalam memberikan perlindungan menyeluruh kepada rakyat,” kata beliau.

Pada masa sama kata Perdana Menteri kesiapsiagaan benteng siber negara mesti terus dipertingkat baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *