Malaysia-Indonesia sepakat percepatkan kerjasama demi manfaat bersama – JM

Wartawan JM
28 JUN 2025

Malaysia-Indonesia sepakat sebulat suara bersetuju untuk mempercepatkan kerjasama dalam bidang pendidikan, ekonomi dan kebudayaan demi manfaat bersama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah untuk mempergiat kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang pertukaran pengetahuan, peningkatan perdagangan, dan pelaburan serta pemerkayaan budaya kedua-dua negara.

“Dalam semangat saling percaya, kami turut berazam untuk menyelesaikan isu-isu sempdan yang masih tertangguh dengan segera,” katanya dalam hantaran di FB.

Terdahulu Anwar yang mengadakan pertemuan tertutup bersama Presiden Prabowo Subianto semasa dalam rangka lawatan rasmi ke Indonesia hari ini (27 Jun) juga turut memberi kenyataan mesia bersama.

PERBINCANGAN SECARA MENDALAM

“Kami merumuskan hasil perbincangan secara mendalam yang mencakup perkara dua hala Malaysia-Indonesia, isu serantau ASEAN, hingga ke permasalahan tantangan global,” katanya.

Perdana Menteri berkata, penyelesaian tuntas masalah sempadan termasuk isu maritim yang berlarutan juga menjadi keutamaan bersama agar kepentingan besar persahabatan dan kerjasama erat Malaysia-Indonesia sentiasa terpelihara.

Beliau berkata, pendekatan menang-menang (win-win solution) ini diharap dapat memperkukuh keyakinan dan kepercayaan antara kedua-dua negara tetangga serumpun.

Sebagai dua negara pengasas ASEAN tambahnya, Malaysia dan Indonesia menegaskan komitmen teguh untuk memastikan perpaduan serantau terus dipelihara dan kestabilan ASEAN dikekalkan.

STABIL AMAT PENTING

“Kami sependapat bahawa ASEAN yang bersatu padu dan stabil amat penting dalam menghadapi cabaran global semasa, sama ada dari segi ekonomi, politik mahupun keselamatan,” katanya.

Dalam pertemuan ini, kata Perdana Menteri kedua-dua pihak mempertegas bahawa kerjasama serantau harus diperkukuh, selaras dengan semangat kejiranan dan keutuhan ASEAN demi Asia Tenggara yang aman, makmur dan berdaya saing.

Sehubungan itu katanya, hubungan erat Malaysia-Indonesia akan terus dijadikan teladan dan pemangkin kepada kesatuan ASEAN yang lebih utuh, demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara dan rantau secara keseluruhan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *