






Oleh: Sholina Osman
28 JUN 2025
Setiap organisasi perlu bersifat adaptif dan progresif.
Penggunaan teknologi digital seperti sistem pengurusan data, pemantauan serta penyampaian maklumat kepada rakyat secara pantas dan telus hendaklah dipertingkatkan.
Pendekatan ini bukan sahaja memperkemas pengurusan, bahkan memperkukuhkan lagi kepercayaan awam terhadap Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli di sekitar Kampung Dato Kayaman, Bukit Keteri baru-baru ini.
Tambah Baginda, ‘Kita kini berdepan dengan realiti dunia yang semakin kompleks dan mencabar. Cabaran terhadap tadbir urus tidak lagi terbatas kepada faktor dalaman semata-mata. Ia turut dipengaruhi oleh tekanan media sosial, persepsi awam, perubahan teknologi serta ketidaktentuan ekonomi global’.
MEMPERKUKUH HUBUNGAN ERAT
Program Kayuhan Amal anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus menjadi wadah signifikan dalam menyantuni masyarakat serta memperkukuh hubungan erat antara institusi agama dan rakyat.
Edisi kali ini bukan sekadar aktiviti berbasikal, malah turut disertai dengan penyampaian sumbangan kepada asnaf terpilih, lawatan kebajikan, serta hebahan pelbagai inisiatif MAIPs yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan ummah secara holistik.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga asnaf terpilih dari Kampung Perawah, iaitu Hatun Taib, 84, Mat Isa Chin, 79 dan Samsiah Manah, 85.
Setiap penerima menerima sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM700, set Kits MAIPs Peduli, serta bekalan beras fidyah sebagai tanda keprihatinan dan komitmen MAIPs dalam membantu golongan memerlukan.
Terdahulu Raja Muda berkenan singgah melancarkan simbolik sesi gotong royong membersihkan kawasan kubur Masjid Saidina Ali Bin Abi Talib, Kampung Perawah dengan memesin rimput bersama-sama anak-anak kariah setempat yang hadir. – JM
