






Oleh: Sholina Osman
4 JULAI 2025
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah pembentukan Ummah Madani Bestari bermula daripada individu yang beriman dan berilmu, keluarga yang harmoni dan berakhlak, masyarakat yang inklusif dan prihatin, serta kerajaan yang adil dan beramanah.
Sehubungan itu titah Baginda, prinsip-prinsip MADANI seperti kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan haruslah dijadikan budaya hidup oleh seluruh warga negeri.
“Ia tidak cukup sekadar slogan, tetapi mesti diterjemahkan dalam tindakan harian,” titah Baginda ketika berkenan
merasmikan Majlis Maal Hijrah pringkat negeri 1447 Hijrah/2025 Masihi di Pusat Koreksional Perlis di Jalan Kok Klang, Perlis
Berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda
Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
DENGAN KEPERLUAN SEMASA
“Tema Maal Hijrah kita pada tahun ini, “Membangun Ummah Madani Bestari”, sangat bertepatan dengan keperluan semasa umat Islam, khususnya di Negeri Perlis yang kita cintai,” titah Baginda.
Baginda bertitah tema ini membawa maksud usaha berterusan untuk memperbaiki dan memperkukuh masyarakat Islam dari segenap aspek kehidupan — spiritual, sosial, intelektual dan fizikal.
“Ia bukan sekadar sebuah konsep pentadbiran, tetapi mencerminkan hasrat membina masyarakat yang adil, sejahtera, harmoni dan berkebajikan, selaras dengan tuntutan agama dan Perlembagaan Negara,” titah Baginda.
Selain itu, titah Baginda ia turut menekankan kebijaksanaan, ilmu, akhlak dan kecekapan yang perlu ada dalam setiap individu Muslim, agar mereka mampu menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara secara lestari.
DALAM BIDANG KEILMUAN
Sementara itu Tokoh Maal Hijrah Tahun 1447 Hijrah diberikan kepada bekas Ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis, Prof. Emeritus Datuk Dr. Johari Mat ekoran sumbangan besar beliau dalam bidang keilmuan dan pemikiran Islam di negara ini.
Di atas penganugerahan itu, Dr Johari menerima wang tunai RM10,000, sijil penghargaan dan plak.
Manakala Anugerah Maal Hijrah diberikan kepada Raja Datuk Azwane Raja Ariff yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan MAIPs.
Beliau menerima wang tunai RM5,000, sijil penghargaan dan plak.
Naib Presiden Persatuan Air Antarabangsa (IWA), Dr. Mohmad Asari Daud pula diberikan Anugerah Jaaizah Maal Hijrah dengan hadiah wang tunai RM2,500, sijil penghargaan dan plak. – JM
