Etiqa Family Takaful Berhad serah zakat korporat 2024 RM982,244.50 kepada MAIPs

Wartawan Jendela MADANI
6 JULAI 2025

Etiqa Family Takaful Berhad menyerahkan zakat korporat bagi tahun 2024 berjumlah RM982,244.50 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk pemerkasaan komuniti.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs, berkenan menerima cek cura sebagai simbolik penyerahan zakat itu daripada Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad Zafri Ab Halim di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di Kangar.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Hawariyyun Al-ikhwan Rahmattullah.

Etiqa dalam kenyataan memaklumkan selain pemberian zakat itu, mereka turut memberikan bantuan pek makanan kepada 350 keluarga asnaf di Perlis yang dikelolakan Pertubuhan Kebajikan Hawariyyun.

Seramai 30 penerima berkenaan mendapat pek makanan tersebut sebagai simbolik penyampaian bantuan itu, pada majlis berkenaan.

KAYUHAN BERBASIKAL AMAL

Sempena dengan majlis ini juga diadakan Kayuhan Berbasikal Amal sejauh 15 kilometer sekitar bandar Kangar dengan persinggahan di tiga rumah asnaf terpilih.

“Acara ini dianjurkan bersama Pertubuhan Kebajikan Hawariyyun selaku Badan Bukan Kerajaan (NGO) pelaksana,” kata kenyataan media.

Etiqa juga menaja sepenuhnya saringan kesihatan dan mamogram secara percuma dengan kerjasama National Cancer Society Malaysia (NCSM), sebagai pengisian program sempena majlis penyerahan zakat tersebut.

TUJUAN KORPORAT ETIQA

Sementara itu, Zafri berkata program sedemikian selari dengan tujuan korporat Etiqa iaitu “Menjadikan Dunia Tempat yang Lebih Baik” dan zakat bukan sekadar memberi tetapi turut menyentuh serta memperbaiki kehidupan mereka yang memerlukan.

Beliau berkata, dengan menggabungkan bantuan makanan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan, diharap akan dapat membawa perubahan berkekalan kepada komuniti.

“Bukan itu sahaja, semoga zakat
yang diagihkan melalui MAIPs pada hari ini, dapat memberi manfaat kepada lebih ramai golongan memerlukan,” katanya dalam kenyataan media.

Zafri berkata Etiqa menyumbang sebanyak RM80,000 untuk bantuan pek makanan kepada penduduk Perlis yang layak, iaitu dipilih melalui kerjasama Pertubuhan Kebajikan Hawariyyun dan MAIPs. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *