



Wartawan JM
9 JULAI 2025
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata beberapa negara di Benua Afrika melihat Malaysia sebagai contoh dalam pelaksanaan serta pembangunan infrastruktur digital, khususnya dalam perluasan liputan dan penggunaan teknologi 4G dan 5G.
Beliau berkata, ini kerana liputan 4G kini mencecah 98 peratus, liputan 5G sebanyak 82 peratus dan tahap penggunaan 5G telah mencapai 80 peratus daripada keseluruhan pengguna internet di Malaysia.
“Mereka menyatakan hasrat untuk menjalankan penanda aras (benchmarking) terhadap pendekatan Malaysia dalam perancangan dan pelaksanaan infrastruktur telekomunikasi,” katanya dalam hantaran di FB.
MESYUARAT DUA HALA
Sebelum itu Fahmi mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat dari Algeria, Senegal dan Ghana sempena World Summit on the Information Society+20 High-Level Event (WSIS+20) yang berlangsung di Geneva, Switzerland dari 7 hingga 11 Julai 2025.
Fahmi berkata, ketiga-tiganya menyatakan penghargaan dan kekaguman mereka terhadap kemajuan Malaysia dalam sektor telekomunikasi.
“Langkah seterusnya adalah mewujudkan memorandum persefahaman yang melibatkan kementerian serta badan kawal selia berkaitan, demi memperkukuh kerjasama dua hala bidang berkenaan,” kata Fahmi. – JM
