


Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan SPRM
11 JULAI 2025
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan Kaukus Antirasuah yang membabitkan penyertaan organisasi masyarakat sivil (CSO), berkuat kuasa selama dua tahun mulai 1 Julai lalu.
Menurut kenyataan media SPRM penubuhan kaukus itu adalah selari visi menjadikan Malaysia bebas rasuah dan makmur bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028.
Katanya, ia juga tindakan strategik menyokong substrategi 3.1, iaitu usaha mewujudkan saluran berstruktur bagi membolehkan CSO berkongsi kepakaran serta pandangan secara aktif melalui laporan dan cadangan tahunan kepada kerajaan
“Inisiatif ini diterajui Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM dengan sokongan strategik dan teknikal daripada Institut Integriti Malaysia (IIM) selaku agensi rakan pelaksana,” kata kenyataan itu.
PERTUBUHAN YANG BERKELAYAKAN
Keanggotaan Kaukus CSO
Kaukus ini terdiri daripada pertubuhan-pertubuhan yang berkelayakan dan mempunyai kepakaran, pengalaman serta komitmen dalam bidang integriti, pencegahan rasuah dan tadbir urus.
Keanggotaannya bersifat inklusif dan mewakili pelbagai sektor masyarakat, termasuk belia, pelajar, komuniti korporat, usahawan, dan wakil antarabangsa, bagi membentuk pendekatan kolaboratif dan menyeluruh.
Setiap ahli bertanggungjawab menyumbang kepakaran dalam bidang masing-masing dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti kaukus.
Mereka juga berperanan sebagai agen penyebar maklumat berkenaan isu-isu berkaitan rasuah, perantara antara organisasi dan masyarakat, dalam menyampaikan mesej pencegahan rasuah, pengemuka isu dan cadangan, serta penggerak dalam pelaksanaan program di bawah NACS.
Dengan pelaksanaan yang tersusun dan kolaboratif, SPRM yakin bahawa objektif NACS untuk memperkukuh budaya integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban di semua peringkat masyarakat akan dapat dicapai. – JM
