




Oleh: Sholina Osman
18 JULAI 2025
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis akan bertindak tegas jika peniaga menaikkan harga tidak munasabah dengan alasan pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST).
Pengarahnya Rohaida Hassan berkata dengan pelaksanaan Ops Kesan 4.0 yang dilancar pada 1 Julai lalu pihaknya akan memantau dan mengekang aktiviti pencatutan, supaya pihak tertentu tidak menaikkan harga secara berlebihan dengan tujuan meraih keuntungan tinggi.
Bagi skop penguatkuasaan, katanya ia meliputi barangan dan perkhidmatan yang terlibat dalam semakan kadar Cukai Jualan dan peluasaan SST yang berkaitan.
“Ini termasuk pemantauan terhadap barangan yang tidak terlibat dengan semakan kadar SST seperti barangan keperluan asas termasuk Ayam Standard, Daging Lembu Tempatan (kecuali Batang Pinang), Kubis Bulat Tempatan, Tepung Gandum NGP, Sardin Dalam Tin, Krimer Pekat Manis, Milo Paket dan Roti Putih,” katanya pada sidang media selepas melakukan Pemeriksaan Ops Kesan 4.0 di salah sebuah pasar raya di Kangar hari ini (18 Julai).
SEBANYAK 27 PREMIS
Rohaida berkata sehingga kini sebanyak 27 premis melibatkan 119 Stock Keeping Unit (SKU) diperiksa oleh anggota penguat kuasa Pejabat KPDN Negeri Perlis.
Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 27 Notis Pengesahan Maklumat Barangan di bawah Seksyen Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah diserahkan kepada peniaga untuk mendapatkan maklumat dan masih dalam siasatan.
Beliau berkata KPDN Perlis akan terus menggerakkan 37 orang Pegawai dan Anggota Penguat Kuasa bagi memastikan setiap perniagaan mematuhi perundangan telah ditetapkan.
“Data kutipan harga harian oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDN juga akan digunakan sepanjang pelaksanaan Ops Kesan 4.0 ini,” katanya. – JM
