






Oleh: Sholina Osman
19 JULAI 2025
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran ‘The Kuala Lumpur Men’s Fashion Week (TKLMFW) 2025’ yang julung-julung kalinya diadakan di M Hotel & Resort, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengasas merangkap Pengerusi TKLMFW, Tengku Sri Kelana D’Raja Kelantan, Datuk Sri Raja Rezza Shah dan Pengarah Operasi M Hotel & Resort, Teo Don How.
Edisi 2025 ini memberi fokus eksklusif kepada dunia fesyen lelaki, menghimpunkan barisan pereka tempatan dan serantau dalam satu platform berprestij yang meraikan kreativiti, budaya serta identiti maskulin moden yang berlangsung selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Julai 2025.
Acara turut membuka tirainya dengan bengkel kreatif hasil kerjasama bersama TikTok Malaysia.
PALING MENCURI TUMPUAN
Antara acara utama yang paling mencuri tumpuan ialah pertunjukan fesyen oleh barisan pereka dan jenama terkemuka seperti Anuar Faizal, Tarumt, Nazrin Shah Tailor, Lord Of Leisure, Shanell Harun, serta koleksi barang kemas daripada ‘The House of Ceres’.
Para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan artis Kael, Megan Mai (biola) dan Leba & Friends.
TKLMFW 2025 turut menyajikan pelbagai sorotan istimewa termasuk persembahan TikTok Shop, koleksi rekaan bespoke, dan acara kemuncak penuh glamor dan Royal Charity Gala.
Selain pertunjukan fesyen, acara ini juga menyediakan ruang interaktif untuk bengkel kreatif, sesi jaringan industri serta pendedahan jenama menerusi kerjasama strategik bersama TikTok Malaysia.
Penganjuran TKLMFW edisi ini dijangka menjadi pemangkin penting dalam memacu perkembangan industri fesyen lelaki tempatan dan serantau, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab fesyen berwibawa di Asia Tenggara.- JM
