



Oleh: Sholina Osman
19 JULAI 2025
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mengajak seluruh warga kerja Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan anak-anak syarikat untuk melangkah ke hadapan dengan semangat ‘Reset, Restart dan Reboot’ dalam membetulkan semula apa yang biasa, dan membiasakan semula apa yang betul.
Beliau menjelaskan amanah yang diberikan ini perlu dirangkul dan garap sebaiknya demi kemaslahatan rakyat Wilayah Persekutuan yang lebih menyeluruh.
Dr Zaliha berkata demikian dalam hantaran di FB.
Sebagai Pengerusi YWP, Dr Zaliha mengambil peluang untuk bertemu dan berdialog bersama seluruh warga kerja YWP dan anak-anak syarikat dalam Retreat YWP baru-baru ini.
KEPUTUSAN-KEPUTUSAN PENTING
“Saya mengambil ruang ini untuk menjelaskan keputusan-keputusan penting yang telah dibuat secara bersama oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah, iaitu keputusan yang bersifat perniagaan dan berteraskan prinsip kebertanggungjawaban,” katanya.
Keputusan ini diambil selepas menilai secara menyeluruh kedudukan prestasi, untung rugi dan daya tahan operasi anak-anak syarikat sebagai entiti komersial.
Namun begitu, beliau tegaskan bahawa kebajikan para pekerja yang terkesan tetap menjadi keutamaan dan akan terus dipelihara oleh YWP sebagai badan induk.
“YWP pula akan terus kekal sebagai entiti kebajikan yang memberi khidmat kepada rakyat Wilayah Persekutuan secara menyeluruh,” katanya.
Dr Zaliha berkata, penambahbaikan dari segi tata kelola mesti diteruskan agar YWP kekal telus dan diyakini. – JM
