Ulama Kelantan harap PMX dikekal jamin kestabilan ekonomi

Wartawan JM
Foto Ihsan FB
20 JULAI 2025

Seorang ulama terkenal dari Kelantan menyuarakan harapannya supaya pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim terus dikekalkan bagi menjamin kestabilan pembangunan Islam dan ekonomi negara yang dilihat semakin terkesan akibat perubahan kerajaan yang terlalu kerap.

Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah juga turut melahirkan kebimbangannya terhadap usaha pihak tertentu, khususnya pembangkang, yang merancang untuk menjatuhkan Perdana Menteri menerusi perhimpuan besar-besaran di ibu negara pada Sabtu (26 Julai) ini.

Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan itu menjelaskan perubahan kerajaan yang terlalu kerap hanya akan menjejaskan kehidupan rakyat termasuk perkembangan sekolah pondok dan menyebabkan ekonomi menjadi malap.

“Di Malaysia ini setiap lima tahun satu kerajaan. Kadang-kadang dua tahun atau setahun pun boleh bertukar kerajaan.

MENJEJASKAN KEHIDUPAN RAKYAT

Perubahan kerajaan yang terlalu kerap hanya akan menjejaskan kehidupan rakyat termasuk perkembangan sekolah pondok dan menyebabkan ekonomi menjadi malap,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada Program Malaysia Bermunajat 2025 di Masjid Putra, Putrajaya, malam tadi.

Wazir berkata, dengan kehadiran yang ramai pada program keagamaan ini sskaligus menunjukkan sokongan sepenuhnya kepada pimpinan Anwar yang mengetuai kerajaan perpaduan sejak penghujung 2022.

“Insya-Allah semua rintangan dan cabaran di negara ini dapat diselamatkan, Kerajaan pimpinan Datuk Seri (Anwar) dapat diselamatkan,” katanya yang turut mengimbau perkenalannya dengan Anwar yang telah lama wujud.

Beliau berkata antara bantuan paling tidak boleh dilupakan sehingga kini adalah sumbangan kewangan ketika beliau berada di Pakistan selama 13 tahun.

KEBAIKAN INI DITERUSKAN

“Ia untuk bantu pelajar Asean di Pakistan, kebaikan ini diteruskan beliau,” katanya.

Pembangkang merancang menganjurkan Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai depan dengan menyasarkan kehadiran 300,000 orang, meningkat berbanding sasaran awal 50,000 peserta.

Mengulas perkara itu semalam, Anwar mencabar pihak pembangkang untuk mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat sekiranya benar-benar berhasrat mengambil alih pentadbiran negara. Jika gagal, katanya, mereka perlu menunggu sehingga Pilihan Raya Umum akan datang. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *