






Oleh: Sholina Osman
21 JULAI 2025
Keluarga kerabat Diraja Jamalullail Perlis melakar sejarah tersendiri apabila berjaya tersenarai dalam Malaysia Book of Records atas kejayaan menghimpunkan seramai 88 orang ahli keluarga diraja dalam satu acara amal sempena Majlis Dirgahayu Tuanku Mendaulat Warisan Legasi Bonda yang berlangsung penuh meriah di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.
Pengiktirafan berprestij ini diberikan sebagai menghargai semangat kesukarelawanan dan komitmen luar biasa keluarga diraja dalam memperkasa agenda kebajikan serta menyemai nilai-nilai murni dalam masyarakat.
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat bagi menyempurnakan majlis tersebut.
Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut berangkat, Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
DIANJURKAN OLEH YAYASAN
Acara bersejarah ini dianjurkan oleh Yayasan Amal Tengku Hajah Budriah Perlis dengan kerjasama Yayasan Prihatin Nasional, bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Perlis.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan yang memukau, mencerminkan kepelbagaian seni tempatan dan antarabangsa termasuk tarian hula, tarian tap, tarian Bollywood, persembahan biola solo, pertunjukan fesyen eksklusif jenama ‘Khatreena’, serta nyanyian koir dan persembahan medley lagu-lagu Michael Jackson dan ABBA.
Lagu “Naungan Tuanku” diperdendangkan dan nyanyian koir penutup “Can’t Help Falling in Love” memukau sekalian yang hadir sebagai penghormatan kepada Duli-Duli Tuanku dan seluruh Keluarga Diraja Jamalullail Perlis.
Di akhir majlis, Tuanku Raja bertitah rasa bangga di atas komitmen semua para kerabat yang bekerjasama menjayakan program tersebut dengan hebat sekali.
Baginda juga menasihatkan semua agar sentiasa memelihara nama baik keluarga diraja Jamalullail Perlis ini hinggalah ke jenerasi yang akan datang. – JM
