MPP-UMPSA seru mahasiswanya usah terlibat Himpunan “Turun Anwar” yang tidak bermanfaat

Oleh: Sholina Osman
23 JULAI 2025

Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (MPP-UMPSA) menyeru semua mahasiswanya sama sekali untuk tidak terlibat dalam sebarang bentuk perhimpunan yang bersifat provokatif dan tidak memberi manfaat kepada pembinaan diri dan masa depan negara.

“Kami akan terus berdiri teguh mempertahankan prinsip, suara dan masa depan mahasiswa UMPSA agar kekal dihormati dan bermaruah,” kata kenyataan media oleh MPP-UMPSA.

Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (MPP-UMPSA) mengulas demikian setelah mengambil maklum berkenaan jemputan yang sedang tular di media sosial berkaitan penganjuran Himpunan “Turun Anwar” yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai 2025.

“Sebagai badan rasmi yang mewakili suara mahasiswa UMPSA, kami ingin menyatakan pendirian tegas, berhemah dan berprinsip dalam isu ini demi menjaga maruah institusi, keharmonian universiti serta kestabilan negara,” kata kenyataan itu lagi.

MPP-UMPSA berpandangan bahawa dalam mendepani cabaran politik, ekonomi dan sosial yang kompleks pada masa kini, semua pihak termasuk mahasiswa perlu memainkan peranan secara bijaksana dan bertanggungjawab.

“Kami menegaskan bahawa MPP-UMPSA tidak menyokong penyertaan dalam mana-mana himpunan yang berpotensi mencetuskan ketegangan, termasuk Himpunan “Turun Anwar” ini,” tegas kenyataan tersebut.

Mahasiswa tidak seharusnya dijadikan alat kepada mana-mana agenda politik yang bersifat sempit dan memecahbelahkan.

Sebagai negara yang
mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan berperlembagaan, Malaysia telah menyediakan pelbagai ruang dan saluran sah untuk rakyat menyuarakan pandangan dan kritikan terhadap dasar kerajaan.

Justeru, sebarang bentuk ketidakpuasan terhadap polisi negara atau kepimpinan negara wajar
disalurkan melalui medium yang beradab dan konstruktif, seperti sesi dialog, forum intelektual, debat ilmiah dan rundingan rasmi bersama pihak berkaitan.

Himpunan yang beremosi dan bersifat provokasi terbuka bukan sahaja mencemarkan kematangan demokrasi, malah mengundang risiko kepada kestabilan sosial dan politik negara.

Pada masa yang sama, kerajaan sedia ada sedang menjalankan pelbagai agenda reformasi menyeluruh melalui kerangka Malaysia MADANI yang menumpukan kepada keadilan ekonomi, ketelusan tadbir urus, pembaharuan institusi dan kesejahteraan rakyat.

Tindakan menekan atau menggugat usaha reformasi ini dengan desakan jalanan yang tidak tersusun boleh menggagalkan proses perubahan yang sedang berjalan secara progresif dan inklusif.

Sebagai entiti kepimpinan mahasiswa yang tertakluk di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), MPP-UMPSA kekal komited untuk menjunjung prinsip-prinsip demokrasi yang berasaskan undang-undang, menyuburkan budaya wacana sihat dan menyokong pembangunan negara yang progresif.

“Kami percaya bahawa peranan
mahasiswa adalah sebagai pencetus solusi dan penyelesai masalah, bukannya pemarak konflik,” jelas kenyataan lagi.

Mahasiswa harus tampil dengan suara yang rasional, progresif dan membina, bukan terpengaruh dengan sentimen dan permainan emosi yang akhirnya merugikan diri sendiri dan institusi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *