

Oleh: Sholina Osman
25 JULAI 2025
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis akan melaksanakan 30 kali Jualan Agro Madani di Perlis bermula Julai hingga Mac 2026 dalam memudahkan pengguna mendapatkan barangan keperluan dengan harga berpatutan seterusnya membantu mengurangkan kenaikan kos sara hidup rakyat Perlis.
Pengarahnya Mohd Anzara Azizan berkata pelaksanaannya akan melibatkan lokasi di kawasan perumahan dan penduduk, kompleks kerajaan.
Kenyataan media FAMA memaklumkan akan bekerjasama bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) untuk menjadikan pekarangan masjid sebagai salah satu lokasi Jualan Agro Madani.
450 ORANG USAHAWAN
Nilai jualan yang disasarkan untuk pelaksanaan ialah sebanyak RM 450,000.00 melibatkan 450 orang usahawan bagi komoditi seperti daging, ayam, ikan dan hasil laut serta sayur-sayuran.
Nilai penjimatan untuk pelaksanaan Jualan Agro Madani ini dijangkakan sebanyak RM135,000 dan memberi manfaat kepada 60,000 orang isi rumah di Perlis.
Sementara itu, program ini telah bermula pada 24 Julai 2025 di pekarangan Pejabat FAMA Negeri Perlis dengan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM 19,000.00 dengan penglibatan seramai 35 orang usahawan yang memberi manfaat kepada 6,000 isi rumah di kawasan sekitar. – JM
