






Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
25 JULAI 2025
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berhasrat menubuhkan sebuah ‘Pusat Sehenti Khidmat Usahawan Asnaf’ bagi melestarikan kluster pembangunan ekonomi dalam kalangan asnaf, sejajar dengan aspirasi Pelan Agihan Holistik MAIPs.
Mengambil inspirasi daripada Konsep Norrsken House Kigali, inisiatif tersebut bakal dilaksanakan melalui program Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) dengan memanfaatkan ruang dan aset sedia ada milik MAIPs, serta disesuaikan mengikut model terbaik yang telah terbukti berkesan.
Demikian menurut kenyataan media MAIPs ketika mengulas keberangkatan lawatan ‘Safar Ilmi MAIPs 2025’ yang diketuai oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang meneliti sendiri suasana dan pengurusan fasiliti Norrsken House Kigali tersebut.
Berangkat sama mengiringi baginda berdua ialah Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
SEBUAH PUSAT KEUSAHWANAN
Norrsken House Kigali merupakan sebuah pusat keusahawanan berimpak tinggi yang kini menjadi antara ekosistem paling aktif di Afrika. Ia merupakan pusat kerja bersama (co-working space) yang beroperasi 24 jam dan kini menempatkan lebih 350 syarikat serta kira-kira 1,600 usahawan dan pekerja profesional yang menyediakan pelbagai kemudahan termasuk ruang kerja fleksibel, bilik mesyuarat persendirian, auditorium minimalis, ruang serbaguna untuk acara, serta sistem sokongan keusahawanan melibatkan penasihat undang-undang, akauntan, pelabur, juru pemasaran, penterjemah dan penasihat pembiayaan.
Model ini menampilkan pendekatan hibrid yang menggabungkan struktur yayasan dan entiti mampan melalui yuran, program komuniti, serta pelaburan berimpak.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor menjelaskan bahawa pendekatan sebegini sangat relevan untuk diguna pakai dalam konteks Malaysia, khususnya bagi memperkasakan golongan asnaf secara holistik melalui pendidikan, latihan teknikal, literasi digital, pengurusan perniagaan dan kebolehpasaran.
“Kita berhasrat agar MAIPs bukan sekadar membantu dengan dana, tetapi mencipta laluan jangka panjang untuk para asnaf berdikari, berdaya saing dan mampu menjana nilai dengan pelaksanaan aktiviti ilmu dan bimbingan yang inklusif. Pusat sehenti ini akan menggabungkan elemen sokongan profesional, pembinaan rangkaian, akses pasaran dan pemantauan prestasi,” katanya. – JM
