Kementerian Digital sambut baik pembentangan RMK-13 rancakkan transformasi digital Malaysia – Gobind

Oleh: Sholina Osman
2 OGOS 2025

Kementerian Digital menyambut baik inisiatif yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang memberi tumpuan kepada pembinaan ekosistem digital yang teguh dan mampan bagi merancakkan transformasi digital Malaysia.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata ini mencerminkan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan agenda negara ke arah Malaysia Digital 2030 berjaya.

“RMK-13 merupakan instrumen penting untuk mencapai matlamat Kerajaan MADANIbagi menjadikan Malaysia sebuah negara kecerdasan buatan (AI) yang inklusif dan
mampan serta pengeluar teknologi digital serantau menjelang tahun 2030,” katanya dalam kenyataan media hari ini (2 Ogos).

MERENTASI TIGA DIMENSI

Beliau berkata, RMK-13 menggariskan strategi transformasi digital yang komprehensif merentasi tiga dimensi
utama – Meningkatkan Siling (Mempercepatkan perubahan struktur ekonomi); Meningkatkan Lantai (Meningkatkan kualiti hidup rakyat); dan Memperkukuh Tadbir Urus yang Baik (Ke arah pentadbiran awam yang responsif dan bertanggungjawab).

Jelas beliau dimensi-dimensi ini selaras dengan inisiatif berterusan Kementerian Digital.

“Sejak penubuhannya pada Disember 2023, Kementerian Digital telah giat berusahamelaksanakan pelbagai program – daripada memperkenalkan perundangan baharu, seperti Akta Perkongsian Data; kepada penubuhan institusi baharu, seperti Pejabat AI Kebangsaan (NAIO); meningkatkan literasi AI dalam kalangan rakyat, melalui portal Rakyat Digital; hingga membina bakat digital, termasuk daripada perkhidmatan awam, melalui program seperti Program Kepimpinan Digital Eksekutif
(EDLP),” kata beliau.

Melalui RMK-13, Kementerian Digital bersedia untuk terus mengubah landskap digital negara.

BANK DATA KEBANGSAAN

Tambah beliau ini termasuk penubuhan Bank Data Kebangsaan dan penggunaan teknologi kembar digital (digital twin).

Bank Data Kebangsaan akan berfungsi sebagai repositori nasional untuk set data berkualiti tinggi merentasi kementerian dan sektor, membolehkan akses data diperkemas dan analitik yang lebih baik.

Sistem kembar digital nasional akan menyediakan keupayaan pemodelan masa nyata untuk mensimulasikan persekitaran yang kompleks — membantu pembuat dasar menguji dan memperhalusi keputusan.

Bersama-sama, ia akan memacu
pembuatan keputusan berasaskan AI merentasi domain seperti perancangan bandar, tindak balas bencana, logistik dan penjagaan kesihatan.

MEMUPUK BUDAYA INOVASI

Bagi melindungi aset data negara dan memupuk budaya inovasi yang
bertanggungjawab, Kerajaan juga akan menubuhkan Suruhanjaya Data
Kebangsaan.

Badan bebas di bawah Kementerian Digital ini akan menyelia tadbir
urus data, menguatkuasakan amalan perkongsian yang selamat, mempromosikan penggunaan data yang beretika, dan menyokong kerjasama data rentas sektor yang
telus.

Ia juga akan memainkan peranan penting dalam menguruskan infrastruktur digital nasional dan meningkatkan kepercayaan awam dalam ekonomi yang semakin
dipacu data.

GovTech Malaysia akan menerajui transformasi perkhidmatan awam digital.

Ia berperanan sebagai badan penyelaras pusat merentasi semua kementerian dan agensi.

INFRASTRUKTUR AWAM DIGITAL

Peranannya adalah penting dalam menggunakan infrastruktur awam digital (DPI) yang komprehensif, meningkatkan kebolehoperasian sistem dan mempercepatkan pelaksanaan perkhidmatan dalam talian secara hujung ke hujung
(end-to-end).

Inisiatif perdana di bawah RMK-13 ialah pembentukan tetingkap
perkhidmatan kerajaan tunggal — berteraskan aplikasi mudah alih MyGov dan portal malaysia.gov.my — yang akan menyediakan akses yang disatukan, selamat, dan
diperibadikan kepada perkhidmatan awam melalui satu platform.

Akses kepada platform ini akan didayakan secara eksklusif melalui MyDigital ID, memastikan
kelayakan digital yang selamat dan universal untuk semua rakyat Malaysia.

MENYOKONG SASARAN KERAJAAN

Inisiatif ini menyokong sasaran Kerajaan bagi 95 peratus perkhidmatan Kerajaan Persekutuan
disampaikan secara dalam talian sepenuhnya menjelang 2030, dan sejajar dengan aspirasi kita untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan 20 negara teratas dalam Indeks Pembangunan e-Kerajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Indeks Perkhidmatan Dalam Talian) pada tahun yang sama.

ASEAN AI Malaysia Summit 2025 (12-13 Ogos) dan Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur (17-19 September) akan menjadi platform terbaik untuk kita mengembangkan inisiatif yang disenaraikan dalam RMK-13.

Acara-acara ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pemain tempatan, tetapi juga tetamu asing
kita yang akan mendapat gambaran tentang aspirasi Malaysia dalam menjadi pemain global dalam bidang digital.

Acara sebegini juga akan menarik minat pelabur untuk mengambil maklum tentang ekonomi digital kita yang berkembang pesat, yang
mencatatkan jumlah pelaburan digital yang diluluskan sebanyak RM163.6 bilion pada tahun lepas.

RMK-13 menandakan komitmen nasional, dan pada dasarnya berfungsi sebagai pelan tindakan bagi Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang maju secara
digital, sangat produktif, makmur, dan berpusatkan rakyat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *