Budaya integriti bukan satu pilihan, tetapi satu keperluan mutlak – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
3 OGOS 2025

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, budaya integriti bukan satu pilihan, tetapi satu keperluan mutlak khususnya dalam konteks pentadbiran hal ehwal Islam, kepercayaan umat masyarakat merupakan modal paling berharga.

Baginda menambah, kepimpinan berintegriti, berwibawa dan berjiwa rakyat akan melahirkan organisasi yang dihormati dan berkesan.

Pemimpin itu bukan sahaja menyampaikan arahan, tetapi ‘memimpin dengan contoh’. Perubahan tidak akan datang melalui slogan, tetapi melalui tindakan nyata yang diketuai oleh mereka yang ikhlas dan berjiwa besar’.

MENCUBA PENDEKATAN BAHARU

“Berfikirlah melangkaui garis masa dan kelaziman. Kita mesti berani keluar daripada zon selesa, mencuba pendekatan baharu yang berpaksikan inovasi, digitalisasi, kerjasama rentas agensi, serta libat urus masyarakat di peringkat akar umbi,” titah Tuanku Raja Muda lagi.

Demikian menurut kenyataan MAIPs, titah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Muzakarah Hala Tuju Hal Ehwal Islam Negeri Perlis 2026-2030 di Dewan Bakawali, Mess Pegawai Kanan PDRM, Jalan Raja Muda, Kangar.

Turut berangkat sama mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Muzakarah ini dianjurkan oleh MAIPs dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Faizuddin Center of Educational Excellence (FCoEE), Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) dan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).

HAL EHWAL ISLAM

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan harapan agar setiap jabatan dan badan berkanun yang terlibat dalam pentadbiran hal ehwal Islam di negeri Perlis terus memperkukuh usaha serta komitmen dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan dan pembangunan ummah.

Baginda turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian Pelan Strategik MAIPs 2026-2030 serta memotong kek sebagai simbolik sambutan 25 tahun Pemasyhuran Baginda sebagai Raja Muda Perlis.

Majlis pada pagi tersebut dimulakan dengan pembentangan Cadangan Inisiatif Pelan Strategik Holistik MAIPs 2026-2030, sebelum diteruskan dengan sesi Muzakarah Hala Tuju Hal Ehwal Islam Negeri Perlis. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *