







Wartawan JM
Foto Ihsan MAIPs
4 OGOS 2025
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan sumbangan Bantuan Lestari SiswaMADANI berjumlah RM17,500 kepada 35 pelajar kurang berkemampuan di tiga buah institut pengajian tinggi (IPT) di Perlis.
Kenyataan media PTPTN memaklumkan sumbangan itu sebagai menyokong akses pendidikan tinggi sempena Program Kayuhan Sejuta Kasih PTPTN 2025 yang berlangsung hari ini (2 Ogos), melibatkan pelajar daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di Arau.
“Setiap pelajar yang layak akan menerima bantuan sara hidup sebanyak RM500 secara sekali beri yang akan disalurkan ke akaun bank pelajar,” kata kenyataan itu lagi.
Penerima bantuan berkenaan bersyukur dan berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta PTPTN yang menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan mereka menerusi sumbangan itu.
UNTUK TERUS BERUSAHA
Palajar tahun empat ljazah Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik UniMAP Muhammad Azehan Fazilah, 24, berkata sumbangan itu menyuntik semangatnya untuk terus berusaha meningkatkan kualiti pembelajaran dan akan memanfaatkan wang yang diterima untuk perbelanjaan harian di
kampus.
“Saya gembira sangat tarpilih menerima sumbangan ini yang sedikit sebanyak dapat kurangkan beban kos sara hidup,” katanya.
Pelajar tahun tiga ljazah Sarjana Muda Sains Sukan di UiTM Cawangan Perlis, Nurul Fatin Fatihah Zainol Mahamud, 23,nberkata pemberian sumbangan itu secara tidak langsung memberikan motivasi kepadanya untuk terus fokus belajar.
“Saya berasa bersyukur dan terharu terpilih terima bantuan ini dan merancang guna wang daripada bantuan ini untuk menyiapkan projek tahun akhir,” katanya.
DIGUNAKAN SEBAIK MUNGKIN
Pelajar tahun dua Diploma Teknologi Kreatif Digital Seni PTSS, Aidil Ummar, 19, pula berkata sumbangan itu membantu perbelanjaannya selain akan digunakan sebaik mungkin untuk tujuan pembelajaran.
Sementara itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, berkenan menyertai program kayuhan melibatkan lebih 100 peserta itu.
Program yang disempurnakan Raja Muda Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UiTM Cawangan Perlis itu, turut disertai Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim dan Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.
SUMBANGAN KOTAK MAKANAN
PTPTN memaklumkan semasa program kayuhan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan mengurniakan sumbangan kotak makanan kepada tiga keluarga asnaf selain sumbangan akaun Simpan SSPN Prime kepada tiga anak asnaf.
Selain itu, PTPTN turut menyampaikan sumbangan kapada Maahad Tahfiz Al-Hikmah merangkumi wang tunai dan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime kepada 60 pelajar.
Menurut agensi tersebut, penganjuran program kayuhan kali kedua itu merupakan antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN kepada masyarakat bagi membantu golongan yang memerlukan.
MENDAPAT KERJASAMA DARIPADA
“Program ini mendapat kerjasama daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan antaranya Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Jabatan Penerangan Negeri Perlis selain badan bukan kerajaan Perlis Volunteer Action Community (PVAC),” kata kenyataan PTPTN.
Pada program sama, pemenang Perlawanan Persahabatan Woodball Piala PTPTN 2025 yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar UiTM Cawangan Peris turut diraikan sebagai tanda penghargaan atas penyertaan mereka.
“PTPTN komited dalam membina hubungan strategik dengan pelbagai pihak bagi melaksanakan program CSR dan menyebarluas manfaat Simpan SSPN kepada komuniti menurut PTPTN. – JM
