






Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
4 OGOS 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiringi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Istiadat Mengucap Selamat Berangkat Sempena Lawatan Negara ke Rusia dari 5 hingga 10 Ogos ini atas jemputan rasmi Presiden Vladimir Putin.
“Lawatan ini amat bersejarah dan signifikan, menjadikan Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Negara Malaysia pertama menjejakkan kaki ke Russia bagi Lawatan Negara sejak hubungan diplomatik Malaysia–Russia dimeterai pada tahun 1967,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Anwar berkata ia melambangkan kedudukan Seri Paduka Baginda sebagai lambang perpaduan negara yang turut memainkan peranan strategik dalam memperkukuh hubungan antarabangsa Malaysia
HUBUNGAN DUA HALA
“Lawatan ini membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Russia dan dijangka merancakkan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan dua hala, pelaburan, pendidikan tinggi, teknologi dan inovasi serta hubungan antara rakyat,” tambah beliau.
Perdana Menteri berkata Malaysia berpotensi menarik pelaburan serta teknologi baharu daripada Russia, khususnya dalam sektor tenaga, aeroangkasa, pertahanan, dan pertanian pintar sejajar dengan agenda Ekonomi MADANI yang menekankan daya saing, kemampanan dan kemakmuran bersama.
Lebih penting katanya Lawatan Negara ini mengukuhkan peranan Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara yang dihormati di peringkat antarabangsa, sekali gus memperteguh kedaulatan dan imej Malaysia sebagai negara yang berkecuali, terbuka dan progresif. – JM
