







Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
9 OGOS 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan lebih RM2.1 juta bagi membaik pulih segera beberapa pondok yang terlalu daif di Bachok, Kelantan.
Beliau berkata, kerja membaik pulih pondok berkenaan akan dimulakan dalam beberapa minggu ini.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha Negara MADANI, percubaan kita membangunkan bangsa berasaskan keyakinan dan akhlak, seperti digarap dalam karya Allahyarham Syeikh Jaafar Syeikh Idris,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Beliau menambah ia belum sempurna, namun dengan bimbingan para guru serta teguran dan kritikan membina, Insya-Allah kita akan terus memperbaiki kekurangan ini demi kemaslahatan umat dan kemuliaan negara, tambah beliau.
GURU-GURU PONDOK
Terdahulu Anwar berkunjung ke Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan di Bachok untuk bertemu dengan guru-guru pondok dan anak-anak pelajar di sini malam tadi (8 Ogos) bagi memenuhi undangan Tuan Guru Sheikh Wazir Al-Makki.
“Alhamdulillah malam tadi saya turun ke Kelantan dan ketika diminta berucap, saya singkap sejarah perjuangan Islam tatkala umat diserang penjajah sama ada di Tanah Melayu, Indonesia, India, Mesir dan seluruh dunia hingga sistem pemerintahan yang ada tunduk dan menyerah kepada kekuatan asing,” kata beliau.
Ketika itu beliau berkata sistem ekonomi dan pendidikan ditawan, dan lebih mendalam lagi, seperti disebut Sheikh Muhammad Al Ghazali sebagai Isti’mar Ruh al-Fikr, yakni penjajahan jiwa dan pemikiran.
ROBEK DAN RUNTUH
Namun dalam keadaan seluruh sistem robek dan runtuh, yang bertahan sebagai benteng akidah, ilmu dan ruh perjuangan umat ketika itu hanyalah pesantren dan pondok-pondok. Itulah sejarah yang perlu kita insafi.
“Kerana itu setelah memegang tampuk pemerintahan, saya menggariskan gagasan MADANI. Di samping membina kestabilan, memperkukuh tatakelola dan menolak salah guna kuasa, gagasan ini melihat keperluan untuk memperbaharui sistem pendidikan bagi memperkukuh jati diri anak-anak kita,” kata Anwar.
Justeru semua pelajar Islam kini didedahkan kepada pengajian al-Quran, termasuk Matan Arbain Hadis 40 Imam Nawawi, di semua sekolah, bukan hanya di sekolah agama atau pondok.
“Selepas bertemu guru-guru pondok di Malaysia, Indonesia dan Pattani, saya sedar benteng ilmu ini makin luntur kerana kekangan perkembangan dan perhatian kerajaan yang lebih tertumpu kepada sekolah arus perdana,” tambah beliau. – JM
