Tun Musa arah siasatan telus ke atas kes Zara Qairina

Oleh: Sholina Osman
11 OGOS 2025

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman telah mengarahkan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian tragis Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Kenyataan media Istana Seri Kinabalu hari ini (11 Ogos) memaklumkan bedah siasat telah dilakukan semalam dan siasatan kini sedang dijalankan dan menunggu hasil bedah siasat tersebut.

“Siasatan ini mestilah dilaksanakan dengan penuh ketelitian, tanpa rasa takut atau pilih kasih, berlandaskan kepada kebenaran dan keadilan,” kata kenyataan itu lagi.

Setiap aspek mesti disiasat sepenuhnya.

Menuntut keadilan bukanlah satu bentuk pembalasan.

Sebaliknya ianya adalah suatu perintah Allah SWT untuk melindungi yang lemah dan menghukum mereka yang bersalah.

PENGGUNA MEDIA SOSIAL

Pada masa yang sama, pihak Istana menyeru orang ramai, terutamanya pengguna media sosial, supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan tuduhan tidak berasas atau menggalakkan teori konspirasi berhubung kes ini.

Tindakan sedemikian bukan sahaja boleh menggugat integriti siasatan malah boleh menyebabkan kesedihan yang lebih mendalam kepada keluarga Zara yang sedang berduka.

Pihak Istana juga menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada proses undang-undang untuk berjalan dengan adil, serta berdiri seiring dengan keluarga Zara dalam mencari jawapan dan penyelesaian kes ini.

Tun Musa dan isteri serta bersama seluruh rakyat di negara ini, merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Zara.

Semoga keluarga Zara diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini.

TAHLIL DAN DOA

Sementara itu, Majlis Tahlil dan Doa Peringkat Negeri khusus untuk Allahyarhamah Zara akan diadakan pada hari Khamis, 14 Ogos 2025 selepas solat maghrib di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

Majlis yang sama akan turut diadakan secara serentak di semua masjid dan surau di seluruh negeri pada tarikh berkenaan.

Tun Musa menggalakkan umat islam untuk hadir bersama-sama di majlis tersebut dan juga mengalakkan mereka yang bukan beragama islam berdoa untuk Zara mengikut kepercayaan masing masing.

Keselamatan dan kebajikan anak-anak kita mestilah sentiasa menjadi keutamaan kita semua

Akhir sekali, Tun Musa mendoakan semoga Allah SWT menempatkan Allahyarhamah Zara dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh serta memberikan kekuatan kepada kita untuk melindungi anak masing-masing bagi mengelakkan berulangnya tragedi seperti itu pada masa hadapan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *