






Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
12 OGOS 2025
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyerahkan pengurusan bangunan Darul Abrar Kubang Gajah kepada Jamiyah Imam dan Pegawai Masjid Negeri Perlis.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan simbolik penyerahan tersebut yang disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua MAIPs kepada Yang DiPertua Jamiyah Imam dan Pegawai Masjid Negeri Perlis, Fadzil Ahmad di Masjid Al-Abrar, Kubang Gajah.
Berangkat sama mengiring ialah Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Keberangkatan baginda disambut oleh Setiausaha MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, Imam Besar Negeri Perlis, Ahmad Sirajuddin Abdul Satar Al-Hafiz, bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kariah Masjid Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Amnan Wuthqa Azanol.
BANGUNAN MASJID LAMA
Darul Abrar merupakan bekas bangunan masjid lama yang telah diubah suai dan diangkat peranannya sebagai pusat pengurusan jenazah bagi kawasan Arau.
Selain itu, ia turut dijadikan pusat aktiviti dan program Jamiyah yang berfokus kepada peningkatan ilmu, kemahiran, dan profesionalisme imam serta pegawai masjid di seluruh negeri Perlis.
Melalui kerjasama strategik dengan JAIPs, pusat ini bakal menjadi medan latihan, wacana ilmiah, serta perkongsian amalan terbaik pengurusan masjid, seterusnya memperkukuh peranan imam sebagai pemimpin rohani dan sosial dalam komuniti.
SEBAGAI PUSAT LATIHAN
Pada masa yang sama, pewujudan Darul Abrar sebagai pusat latihan ini turut memperlihatkan usaha memanfaatkan premis wakaf secara optimum, memastikan aset wakaf bukan sahaja terpelihara tetapi juga memberi pulangan manfaat yang berterusan kepada masyarakat.
Pendekatan ini selari dengan aspirasi MAIPs untuk mengangkat martabat institusi wakaf sebagai pemangkin pembangunan modal insan dan kesejahteraan ummah.
Usaha memperkukuh peranan masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah sebagai pusat komuniti yang aktif dan berdaya maju. – JM
