

Oleh: Sholina Osman
13 OGOS 2025
Kementerian Pendidikan (KPM) menempatkan sementara Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) serta semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.
Kenyataan media KPM memaklumkan hari ini (13 Ogos) bahawa keputusan ini diambil susulan pengumuman PDRM bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes pelajar Allahyarhamah Zara Qairina.
MEMBERI KERJASAMA SEPENUHNYA
“KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksana secara menyeluruh, teliti dan tuntas,” kata kenyataan itu.
Sebagaimana yang telah ditegaskan, kes tersebut merupakan keutamaan KPM pada masa ini.
KPM berharap siasatan telus dan sepenuhnya dapat dilaksanakan demi keadilan buat keluarga serta semua pihak terlibat. – JM
