MALAYSIA ANJUR SIDANG KEMUNCAK AI ASEAN, BENTUK MASA DEPAN DIGITAL LEBIH BERTANGGUNGJAWAB

12 Ogos 2025

KUALA LUMPUR, 12 Ogos 2025 – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini telah merasmikan Sidang Kemuncak AI ASEAN Malaysia 2025 (AAIMS25) di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

Sidang kemuncak yang dianjurkan oleh Kementerian Digital dengan sokongan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) dan MyDIGITAL Corporation ini menghimpunkan lebih 1,500 peserta dari seluruh rantau ASEAN, termasuk menteri-menteri ASEAN, pembuat dasar, peneraju teknologi global, usahawan, belia, penyelidik dan masyarakat sivil.

Bertemakan “Memacu Pembangunan AI Lestari & Inklusif di ASEAN”, AAIMS25 menjadi platform strategik untuk mengukuhkan kerjasama serantau dalam memajukan teknologi AI yang beretika, inklusif dan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.

Dalam ucaptamanya, Perdana Menteri menegaskan bahawa AI bukan sekadar alat teknologi, tetapi kuasa pemacu perubahan yang mampu membawa kemajuan bermakna, mampan dan adil. Malaysia komited membina model inovasi berlandaskan nilai Asia Tenggara, prinsip kesaksamaan, dan asas kepercayaan demi kesejahteraan rakyat.

Acara dua hari ini turut menampilkan pelancaran Dasar Pengkomputeran Awan Negara (NCCP), perbincangan panel berimpak tinggi, forum interaktif, pameran teknologi AI terbesar di rantau ini, serta pelbagai pengumuman strategik daripada syarikat teknologi global untuk memperkasa bakat dan inovasi di ASEAN.

Turut hadir, Menteri Digital YB Gobind Singh Deo, Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pendidikan Tinggi YB Zambry Abd Kadir dan Menteri Komunikasi YB Datuk Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Digital YB Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong bersama tetamu kehormat daripada negara-negara anggota ASEAN, rakan industri dan pemimpin teknologi global.

KementerianDigital

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *