PMX hargai peluang saksi detik bersejarah peluncuran ILMU AI Model LLM pertama negara

Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
13 OGOS 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai peluang menyaksikan satu detik bersejarah peluncuran ILMU yakni kecerdasan buatan (AI) merangkap Model Bahasa Besar (LLM) pertama negara.

Ia dibangunkan sepenuhnya oleh bakat tempatan melalui YTL AI Labs dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) yang diperkaya dengan konteks, nilai, dan budaya Malaysia.

Beliau berkata ILMU bukan sekadar kemajuan teknologi, tetapi cerminan identiti, suara, dan aspirasi negara dalam era AI.

MAMPU MEMBANGUNKAN TEKNOLOGI

“Peluncuran ini juga menandakan bahawa Malaysia kini bukan lagi sekadar pengguna teknologi, sebaliknya sudah mampu membangunkan teknologi bertaraf dunia hasil kepakaran anak bangsa,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Jelas Perdana Menteri ia dirangka untuk memahami, menghormati, dan meraikan kepelbagaian rakyat, sambil membuka ruang baharu dalam pendidikan, perkhidmatan awam, dan inovasi industri.

“Peluncuran ini menzahirkan tekad Malaysia untuk menjadi peneraju teknologi yang inklusif, beretika, dan berpaksikan nilai-nilai MADANI yang memanfaatkan potensi AI demi kemakmuran rakyat, kemajuan ekonomi, serta kedudukan strategik Malaysia di persada dunia,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *