




GDPM Fest 2025 di Kuantan
Oleh: Sholina Osman
17 OGOS 2025
Pahang menjadi negeri kedua selepas Johor untuk menganjurkan Geran Digital Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) MADANI (GDPM) Fest 2025 yang berlangsung di Swiss-BelHotel, Kuantan hari ini (17 Ogos).
Kenyataan media Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan penganjuran program ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan PMKS, khususnya dalam sektor kesihatan di seluruh negara termasuk di Pahang, tidak ketinggalan daripada arus kemajuan teknologi.
Selain itu, program berkenaan juga bermatlamat memperkasa penerapan
penyelesaian teknologi masa hadapan dalam kalangan PMKS selain membentuk ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih cekap dan inklusif bagi
mempersiapkan mereka dalam menghadapi cabaran mendatang.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Exco Kerja Raya,
Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir. Razali Kassim.
RAKAN-RAKAN STRATEGIK
Hadir sama para pegawai kanan MCMC dan rakan-rakan strategik seperti Kementerian Kewangan Malaysia, Bank Simpanan Nasional (BSN), Persatuan Perubatan Malaysia,
Persatuan Farmasi Malaysia, penyedia perkhidmatan serta rakan-rakan penyedia teknologi kesihatan masa hadapan.
Pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan termasuk demonstrasi penyelesaian teknologi masa hadapan, sesi perkongsian bantuan transformasi penjagaan kesihatan masa hadapan, pengalaman realiti maya (VR) dan kepentingan
penggunaan teknologi dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
GDPM Fest 2025 membawa inisiatif ini ke peringkat akar umbi melalui
pendekatan setempat yang lebih dekat dengan komuniti perubatan dan
usahawan kesihatan tempatan.
TURUT MENJALIN KERJASAMA
MCMC turut menjalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meningkatkan kesedaran berkaitan Guideline on Online Healthcare Services (OHS), satu usaha penting dalam
memastikan penggunaan platform kesihatan masa hadapan yang selamat, bertanggungjawab dan beretika.
MCMC berharap program ini dapat menyokong usaha negara ke arah ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih pintar, cekap dan inklusif demi kesejahteraan komuniti pakar perubatan, PMKS dan rakyat jelata secara keseluruhannya.
Selepas Johor dan Pahang, Kota Kinabalu di Sabah akan menjadi destinasi berikutnya kepada penganjuran GDPM Fest 2025 yang akan berlangsung pada 24 Ogos ini. – JM
