






Oleh: Sholina Osman
18 OGOS 2025
Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) Jitra lagi sekali melakar pencapaian membanggakan pada pertandingan International Innovation and Invention Competition Through Exhibition (i-CompEx 2025).
POLIMAS muncul juara dalam satu kategori, dua naib johan dan satu tempat ketiga pada pertandingan
ini yang berlangsung pada 13 hingga 14 Ogos 2025 di Dewan Sri Mas, POLIMAS, Jitra, Kedah.
Lebih bermakna, penganjuran kali ke-13 ini turut mencipta sejarah baharu apabila POLIMAS diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pencapaian “Largest Participation in an AI Module Invention Course” dengan melibatkan 6,847 peserta secara dalam talian dalam tempog 13 hari.
KEJAYAAN LUAR BIASA
Pencapaian ini disifatkan sebagai satu kejayaan luar biasa yang selari dengan tema penganjuran tahun ini bertemakan “Towards AI-Driven Innovation and Invention”.
Kejayaan paling cemerlang POLIMAS menerusi projek Gradview+ – Paparan Tepat, Konvokesyen Lancar yang dinobatkan sebagai Johan Kategori D – ICT dan Multimedia.
Projek inovatif ini dibangunkan oleh Ts. Abdul Aziz Ab Nasir bersama rakan penyelidik Muhammad Khairi Saad, Natasha Niza Najib dan Sa’adiah Mohamad.
Gradview+ merupakan satu sistem aplikasi yang direka khusus bagi menguruskan majlis konvokesyen dengan lebih efisien.
TERBUKTI MENJIMATKAN KOS
Sistem ini telah mula digunakan di POLIMAS sejak tahun 2022 dan terbukti menjimatkan kos, meningkatkan kelancaran istiadat serta memberikan pengalaman lebih bermakna kepada graduan dan keluarga.
Lebih membanggakan, sistem ini turut mendapat kepercayaan apabila diguna pakai di majlis konvokesyen Kolej Komuniti Kedah Perlis pada tahun 2024 dan 2025, menjadikannya inovasi yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan.
POLIMAS turut meraih dua naib johan menerusi menerusi projek
Kedah E-Heritage 2.0 (Kategori A – Rekabentuk Persekitaran Binaan dan Rekabentuk Dalaman) dan Marrtech – Smart Learning Motherboard AR (Kategori H – Pengajaran dan Pembelajaran).
MERAIH TEMPAT KETIGA
Manakala projek Strapps 2.0 – Mobile Application For Practical Structural Engineering Learning pula berjaya meraih tempat ketiga bagi kategori Pengajaran dan Pembelajaran.
Penganjuran i-CompEx 2025 menyaksikan sebanyak 401 projek inovasi daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi, sekolah, agensi kerajaan, swasta serta penyertaan antarabangsa dari Arab Saudi, China, United Kingdom, Thailand dan Indonesia.
Selain pertandingan utama, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan termasuk Seminar MyIPO, pameran Pusat Sains (MOSTI), demonstrasi helikopter kawalan jauh, dron, simulasi robotik, pameran Arkib Negara Malaysia (ANM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Majlis penutupan i-CompEx 2025 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Ts. Mustapha Sakmud. – JM
