



Ahad, 17 Ogos 2025
SABAH: Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia, YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib hari ini mengetuai rombongan Kementerian Ekonomi ke lokasi pertama Jelajah Jalinan Borneo RMK13 yang berlangsung di Keningau.
Penganjuran siri pertama ini dikendalikan oleh Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA) selaku urus setia, dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Daerah Keningau serta Majlis Daerah Keningau.
Pada sebelah pagi, YB Timbalan Menteri memulakan Sesi Libat Urus (SLU) bersama pentadbiran negeri, bahagian dan daerah sekitar Keningau, manakala pada sesi petang pula beliau bertemu dengan pakar, pemain industri, badan bukan kerajaan (NGO), organisasi masyarakat sivil (CSO) serta masyarakat awam.
Ini merupakan inisiatif YB Timbalan Menteri menerusi Kementerian Ekonomi dalam merapatkan jurang antara rakyat dan dasar kerajaan, di samping menjadi wadah penting untuk memberi pengetahuan serta menjelaskan intipati Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) khususnya kepada rakyat di Sabah dan Sarawak.
Dalam ucapannya, mlalui jelajah ini, pihak Kementerian dapat melihat, mendengar dan memahami sendiri keperluan rakyat, sekali gus menambah baik perkhidmatan Kementerian serta memperkasakan dasar kerajaan demi kesejahteraan masyarakat.
Jelajah ini akan diteruskan ke tiga lokasi di Sarawak, iaitu Mukah, Sri Aman dan Miri sebelum menutup tirai di Sabah, dengan lokasi terakhir di Semporna.
