





Oleh: Sholina Osman
23 OGOS 2025
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perlis telah melaksanakan 118 kali Jualan Agro Madani yang melibatkan 30 outlet pemasarannya di seluruh negeri.
Pengarahnya Mohd Anzara Azizan berkata ia melibatkan Pasar Tani, Agrobazaar Rakyat, Agrobazaar Kedai Rakyat dan Gerai Buah Buahan Segar (GBBS).
Beliau berkata nilai jualan yang dicatatkan sebanyak RM1.7 juta yang melibatkan 250 orang usahawan manakala nilai penjimatan sebanyak RM 550,000.00.
Selain itu, kata Mohd Anzara pencapaian pasar tani sehingga kini telah berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM1.59 juta.
130 ORANG USAHAWAN
Beliau menambah ia melibatkan penyertaan 130 orang usahawan di empat buah pasar tani seluruh negeri Perlis.
“Nilai jualan Pasar Tani Dataran ABC MAIPs pula mencatatkan nilai jualan sebanyak RM600,000.00 dengan 25 orang usahawan,” kata Mohd Anzara pada sidang media.
Terdahulu Mohd Anzara melakukan “walkabout” sempena Program Jualan Agro Madani Semarak Kemerdekaan bertempat di Pasar Tani Dataran ABC MAIPs, Kangar hari ini (23 Ogos).
Beliau juga juga melancarkan Jualan Khas Kombo Madani Merdeka bernilai RM6 serta melakukan penyerahan Kipas Tangan Merdeka kepada pembeli.
MEMUPUK SEMANGAT PATRIOTIK
Mohd Anzara berkata penganjuran program ini adalah secara eksklusif untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan usahawan FAMA seterusnya menyemarakkan lagi Sambutan Kemerdekaan Ke-68.
Beliau berkata pihaknya juga melakukan kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPS) bagi pelaksanaan pasar tani di pekarangan Masjid Istiqamah, Teluk Jambu, Bintong.
Beliau berkata penganjuran Jualan Agro Madani bukan sahaja dilaksanakan di kawasan penempatan penduduk dan kompleks kerajaan, ianya turut dilaksanakan di outlet-outlet pemasaran FAMA di seluruh negeri Perlis.
Jelas beliau pelaksanaan ini adalah untuk memperluaskan lagi manfaat kepada rakyat seiring dengan objektif Jualan Agro Madani untuk mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kebolehcapaian pengguna mendapatkan bekalan produk segar. – JM
