


Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
29 OGOS 2025
Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dibentangkan Kerajaan bertujuan untuk menyelamatkan dan memperkasa masyarakat Melayu, khususnya mereka yang tinggal di bandar dan hidup dalam keadaan serba kekurangan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kepentingan masyarakat Melayu dan Bumiputera akan terus dipertahankan.
“Prinsip ini saya tegaskan semasa Waktu Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini,” katanya dalam hantaran di FB.
MEMASTIKAN PEMBANGUNAN BANDAR
Beliau berkata, RUU ini adalah antara langkah berstruktur untuk memastikan pembangunan bandar tidak meminggirkan golongan yang memerlukan, tetapi sebaliknya membuka ruang kepada penyertaan lebih inklusif, adil dan bermaruah.
Sementara itu di lobi Parlimen, berkesempatan bertemu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan blok pembangkang berkaitan RUU URA.
“Pandangan mereka penting dalam usaha memperhalusi pindaan RUU ini agar pelaksanaannya lebih menyeluruh, inklusif dan berteraskan kepentingan rakyat,” jelas beliau. – JM
