










Putrajaya, 29 Ogos 2025 – Detasemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempamerkan persiapan akhir penuh semangat apabila lebih 1,100 pegawai, anggota serta pelbagai aset pasukan terlibat dalam raptai penuh pagi tadi sebelum menjelang Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.
Lebih bermakna, detasemen Sang Saka Biru turut disertai oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato’ Sri Azmi Abu Kassim bersama Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri.
Sementara itu bagi memastikan keselamatan dan kelancaran aliran trafik sepanjang sesi raptai serta acara sambutan rasmi nanti, seramai 2,326 petugas PDRM telah digerakkan bagi kawalan keselamatan di sekitar Putrajaya.
Turut hadir menyaksikan raptai penuh ialah Pengarah Pengurusan, CP Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid, Timbalan Pengarah Pasukan Gerakan Am, Jabatan KDNKA Bukit Aman, DCP Dato’ Mohamad Suzrin Mohd Rodhi, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, DCP Dato’ Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, Timbalan Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Penerbitan Institut Keselamatan Awam Malaysia, SAC Dr. Shazrin Azlin Ruslan, SAC Modenisasi Pengurusan Organisasi, Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman, SAC A. Asmadi Hj. Abdul Aziz dan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Hal Ehwal Pesara Polis) Bukit Aman, SAC Alina Saad.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan, Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Bryanlie Mustin.
