









KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya, hari ini (31 Ogos).
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan memandu sendiri Proton Satria Neo RS bersama Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dari Istana Negara ke Dataran Putrajaya.
Berangkat sama mengiringi Seri Paduka Baginda berdua, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada jam 8 pagi disambut YB Datuk Ahmad Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan isteri.
Turut hadir, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan isteri YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Lagu Hormat Diraja dan Negaraku dimainkan oleh pancaragam Kawalan Kehormatan Utama sebaik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berangkat masuk ke Pentas Diraja.
Sejurus keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke Pentas Diraja, Dataran Putrajaya menyaksikan terbang lintas lima pesawat helikopter yang membawa bendera Malaysia serta bendera Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Seri Paduka Baginda Yang di-Peetuan Agong turut berkenan memeriksa perbarisan serta menerima Tabik Hormat Diraja daripada Kawalan Kehormatan Utama Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dengan kekuatan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Kem Perdana Sungai Besi.
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ melibatkan 14,062 peserta menampilkan perbarisan pancaragam, aset hidup dan kenderaan serta kontinjen daripada sektor penting negara termasuk ekonomi, telekomunikasi, industri kreatif, sukan dan keselamatan.
Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menyaksikan pertunjukan dan persembahan perarakan semua kontinjen yang mengambil bahagian dalam sambutan Hari Kebangsaan 2025.
