PMX sampaikan ceramah di Universiti Tianjin berusia lebih 130 tahun

Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
1 SEPT 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi penghormatan menyampaikan syarahan umum di Universiti Tianjin, sebuah institusi bersejarah berusia lebih 130 tahun.

“Saya menghargai cenderamata yang dihadiahkan pihak universiti berupa replika sijil diploma pertama yang dikurniakan sekitar tahun 1900,” kata beliau dalam hantaran di FB

Sehubungan itu beliau cuba berkongsi tentang kepercayaan yang terbina antara Malaysia dan China sejak setengah abad lalu, selain menyinggung soal kegawatan ekonomi dunia ketika ini, juga tentang hikmah sejarah yang mengingatkan kita bahawa konflik adalah pilihan.

“Keputusan Malaysia mengiktiraf Republik Rakyat China pada 1974 adalah langkah berani berlandaskan keyakinan pada masa depan, yang berkembang menjadi kepercayaan,” jelas Anwar.

BAGI MENGUKUHKAN KEFAHAMAN

Setiap pertemuan beliau dengan Presiden Xi Jinping adalah bagi mengukuhkan kefahaman bahawa meskipun berbeza dari segi saiz, kedua-dua negara mampu berdiri setara dengan penuh hormat dan keikhlasan.

Daripada asas inilah lahir kerjasama merangkumi projek infrastruktur yang menghubungkan ekonomi, kerjasama tenaga hijau dan ekonomi digital, malah kemudahan perjalanan antara rakyat kedua-dua negara.

Dalam suasana dunia yang penuh ketidaktentuan, keikhlasan persahabatan ini menjadi sesuatu yang amat berharga.

“Hari ini kita menyaksikan tatanan dunia yang kian goyah. Peraturan dagangan berubah sesuka hati, kawalan eksport diumum dan ditarik balik sekelip mata dan perpecahan menjadi pilihan,” tambah Anwar.

DUNIA MASA HADAPAN

“Dalam kekalutan itu, kita punya tanggungjawab untuk memastikan sejarah dan tatanan dunia masa hadapan ditulis dengan dakwat Asia agar ia lebih adil, lebih terangkum dan memberi peluang kepada semua,” tambah beliau.

Malaysia menawarkan jalan berbeza, yakni kedaulatan dalam kebergantungan.

Ia bukan soal tunduk kepada orang lain, sebaliknya seni untuk berdiri teguh tanpa perpecahan.

Negara boleh kekal sepenuhnya dengan pendirian dan kedaulatan, namun terbuka kepada aliran perdagangan, sumber dan teknologi yang diperlukan untuk mencapai kemakmuran bersama.

SUDAH LAMA BERAKAR

Inilah semangat “harmony without uniformity” yang sudah lama berakar di Asia.

Dari pelayaran Laksamana Zheng He hingga falsafah hé ér bù tóng, kita belajar bahawa tamadun mampu memperkayakan antara satu sama lain tanpa menghilangkan identiti.

Kedaulatan dalam kebergantungan adalah terjemahan moden kepada semangat itu.

Sebagai rantau yang kini memacu pertumbuhan global, Asia memikul amanah untuk memastikan aturan baharu ekonomi tidak membawa perpecahan, sebaliknya membina kemakmuran bersama.

BOLEH MEMILIH JAMBATAN

Perpecahan bukan sesuatu yang ditakdirkan. Kita boleh memilih jambatan atau membina tembok, memilih kerjasama atau persaingan sempit.

Jika semangat ini kita teguhkan, Asia akan melangkah ke hadapan dengan bermaruah, kekal berpendirian namun terbuka antara satu sama lain.

“Di situlah lahir kekuatan kita, dan di situlah kita memperteguh Asia di persada dunia,” jelas Anwar. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *