



Oleh: Sholina Osman
3 SEPT. 2025
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap dua kes berunsur hasutan dan dakwaan tidak benar yang ditularkan di media sosial secara berasingan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata kes pertama adalah hantaran oleh Akaun TikTok bernama Muhammad Zamis Shah @zamis88_shah98_sikacau berhubung isu kematian Zara Qairina.
Manakala kes kedua adalah hantaran oleh akaun TikTok Monkey Dnaga yang mengaitkan Perdana Menteri Malaysia dengan Israel seperti di pautan https://vt.tiktok.com/ZSApqhtxt/.
“Kedua-dua pemilik akaun terbabit telah berjaya dikenal pasti dan tiada sebarang kaitan antara kedua-dua mereka,” kata M. Kumar dalam kenyataan media hari ini.
SEDANG GIAT DIJALANKAN
Beliau berkata usaha mengesan suspek terlibat kini sedang giat dijalankan.
“Siasatan berhubung penularan tersebut dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayaj Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sejurus laporan polis diterima,” tambah beliau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen505 (b) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
MEMPUNYAI KECENDERUNGAN MENGHASUT
Penerangan Peruntukan Kesalahan-Kesalahan tersebut adalah seperti berikut;
I. Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 iaitu perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut, jika disabitkan, denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
II. Seksyen 505 (b) KK iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam, jika disabitkan penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
III. Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, jika disabitkan denda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. – JM
