




Oleh: Sholina Osman
4 SEPT. 2025
Malaysia bakal menjadi tuan rumah Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 (ASEAN E-Commerce Conference 2025) yang akan berlangsung pada 24 hingga 25 November 2025 di Grand Hyatt, Kuala Lumpur.
Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Dr Fuziah Salleh berkata ia bersempena dengan Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN pada tahun ini.
Beliau berkata persidangan selama dua hari ini dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama strategik bersama Malaysia E-Commerce Chapter di bawah Malaysian International Chamber of Commerce and Industry (MICCI).
“Persidangan yang bertemakan “ASEAN E-Commerce Transformation: Bridging Gaps, Enhancing Competitiveness” yang julung kalinya diadakan ini akan
menghimpunkan penggubal dasar, agensi-agensi kawal selia, pemain-pemain industri dan usahawan dalam talian dari seluruh negara ASEAN untuk membincangkan hala tuju strategik transformasi e-dagang serantau yang dinamik dan berdaya saing,” kata beliau dalam kenyataan media.
INDUSTRI E-DAGANG
Dr Fuziah berkata persidangan ini turut disokong oleh pemain-pemain industri e-dagang terkemuka dalam negara seperti Shopee, Lazada, TikTok Shop, Mudah.my dan Carousell serta penaja bersama yang lain.
“Kerjasama strategik antara KPDN dan pemain utama industri e-dagang ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kepercayaan digital, mendorong inovasi serta memastikan pertumbuhan ekonomi digital yang inklusif di peringkat serantau,” tambah beliau.
Beliau berkata persidangan ini turut menekankan aspek pengukuhan kawal selia perlindungan pengguna serta pembangunan ekosistem digital yang mampan dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (ASEAN Digital Economy Framework Agreement, DEFA) yang kini
sedang dimuktamadkan.
“Objektif persidangan ini ialah menjadikan e-dagang sebagai pemacu utama ekonomi ASEAN dan memperkukuh kawal selia perlindungan pengguna,” kata beliau.
DUA TERAS UTAMA
Dr Fuziah berkata fokus utama terbahagi kepada dua teras utama iaitu mewujudkan pasaran e-dagang yang diyakini meliputi usaha
memperkukuh perlindungan pengguna dalam talian, cabaran kawal selia rentas sempadan, isu berkaitan cetak rompak digital dan penjualan barangan tiruan.
Jelas beliau lagi ia juga untuk
memperkasa ekosistem digital sebagai peluang untuk memperkukuh
ekonomi digital ASEAN termasuk mempertingkatkan jaringan logistik last-mile, akses kepada kewangan digital seperti Buy Now Pay Later (BNPL) dan usaha memperkasa usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) melalui e-dagang.
“MICCI yakin bahawa e-dagang berupaya mengubah ekonomi, memperkasa komuniti dan membina daya tahan di seluruh ASEAN,” tambah beliau.
Namun katanya ia memerlukan kesepakatan dari aspek peraturan, kesiapsiagaan ekosistem, dan kerjasama rentas sempadan.
BAKAL MENJADI PLATFORM
“Persidangan ini bakal menjadi platform untuk memperkukuh dialog
antara industri dan pengawal selia, serta membina ekosistem inklusif di mana semua, daripada platform global hingga PMKS luar bandar, mampu berkembang,” tambah beliau.
Beliau berkata persidangan ini dijangka menarik penyertaan lebih 350 peserta termasuk wakil-wakil dari negara-negara ASEAN dan akan menampilkan Sesi Perbincangan Panel dan Sesi Perkongsian bersama tokoh industri dan penggubal dasar yang akan berkongsi pandangan strategik berkaitan dasar, inovasi serta cabaran industri e-dagang sejajar dengan matlamat memperkukuh ekosistem e-dagang serantau.
“Sebanyak 14 sesi melibatkan 33 ahli panel merangkumi gabungan sektor awam serta swasta dari dalam dan luar negara telah dijadualkan,” kata beliau.
Majlis perasmian akan disempurnakan Menteri
Perdagangan Dalam Negeri Datuk Armizan Mohd Ali,dan Ucaptama akan disampaikan oleh Encik James Dong, Presiden, International Marketplace, Alibaba International Digital Commerce Group, barisan penceramah berprofil tinggi daripada sektor awam dan swasta, termasuk tokoh-tokoh penting yang akan berkongsi pandangan dan pengalaman dalam bidang e-dagang serta transformasi digital. – JM
