PROGRAM SANTUNI MADANI BERI MANFAAT KEPADA MASYARAKAT

Kuala Pilah, 7 September – Sebanyak lapan isu sosioekonomi menjadi keutamaan dan telah dikenalpasti menerusi Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) yang dilaksanakan di Kampung Terentang, Negeri Sembilan.

Program Santuni MADANI merupakan inisiatif kerajaan untuk mendekatkan para pemimpin dengan akar umbi di mana pemimpin diberi tanggungjawab menyantuni kampung kelahiran bagi memahami secara langsung isu-isu sosioekonomi dan keperluan masyarakat.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, program ini bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal tetapi juga membina semangat kebersamaan dan rasa bangga terhadap kampung halaman.

“Sebagai anak jati yang lahir dan membesar di Kampung Terentang, ini merupakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Perdana Menteri agar semua Ketua-ketua Jabatan Kerajaan dapat menyantuni dan menjadi pembakar semangat kepada seluruh penduduk kampung,” katanya ketika merasmikan Balai Raya Kampung Terentang di bawah Program Santuni MADANI di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak lapan isu utama yang mendesak dan memerlukan tindakan segera telah dikenalpasti menerusi sesi libat urus secara langsung bersama agensi kerajaan, ahli jawatankuasa surau dan masjid serta Ketua Kampung khususnya membabitkan kemudahan infrastruktur.

Antara kerja pembaikan yang telah dilaksanakan ialah penambahbaikan surau dan penggantian kelengkapan uzur; penyelenggaraan longkang/parit utama; pemasangan lampu solar; meroboh dan membina sebuah balai raya baharu yang siap sepenuhnya pada 1 Julai 2025 manakala pembinaan sebuah masjid baharu yang sedang dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada Januari 2025 serta keperluan bantuan untuk golongan asnaf yang telah dilaksanakan pada hari ini.

Sementara itu, Tan Sri Azam bersama Pengerusi PUSPANITA SPRM, Puan Sri Normah Mohd Zain turut dibawa melawat ke semua kawasan lokasi pembinaan dan juga memberi sumbangan kepada keluarga asnaf di kampung ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Azmi Kamaruzaman; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi; Timbalan Pentadbir Tanah Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah, Akhmal Abu Basar; Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM serta wakil-wakil agensi kerajaan.

SPRMMalaysia

RasuahDihinaMaruahDibina

taatsetia

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *