



Oleh: Sholina Osman
Foto FB Pejabat Perdana Menteri (PMO)
10 SEPT. 2025
Malaysia terus melangkah ke hadapan dalam merealisasikan aspirasi AI Nation 2030, dengan sasaran menjadi peneraju kecerdasan buatan (AI) serantau.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menegaskan kemajuan teknologi mesti seiring dengan pulangan nyata dari segi produktiviti dan kesejahteraan rakyat.
Beliau menjelaskan sebagai langkah pendigitalan perkhidmatan awam, MyGOV Malaysia dibangunkan sebagai platform sehenti semua urusan kerajaan.
“Saya juga telah mengarahkan agar semua kementerian dan agensi segera mengintegrasikan perkhidmatan mereka ke dalam aplikasi ini,” kata beliau dalam hantaran di FB.
MAJLIS EKONOMI NEGERI
Sebelum itu Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi
Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bil. 4/2025.
Beliau berkata usaha memperluas MyDigital ID juga diteruskan dengan sasaran 15 juta pendaftaran menjelang akhir tahun, dibantu proses pengesahan melalui JPN.
Pada masa sama, akses Internet di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sedang ditambah baik.
“Saya menyarankan ia diperluaskan ke Kolej Matrikulasi, Kolej Vokasional, IPG serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” kata beliau.
Pesanan Perdana Menteri, infrastruktur digital yang kukuh adalah asas penting dalam memacu ekonomi digital dan memastikan teknologi benar-benar memanfaatkan rakyat. – JM
