

Oleh: Sholina Osman
11 SEPT. 2025
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyifatkan insiden menyerang sehingga mencederakan seorang penjawat awam hari ini, iaitu Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman
merupakan satu tindakan keji, tidak bertamadun dan tidak boleh sama sekali diterima.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ini.
“Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyuarakan pandangan, namun kebebasan ini tidak boleh disalahguna dan mesti dipatuhi dalam kerangka undang-undang, adab serta norma masyarakat,” katanya dalam kenyataan media.
Saifuddin berkata Malaysia adalah sebuah negara berdaulat yang termaktub terhadap undang-undang; setiap warga perlu menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan mengelakkan sebarang tindakan bercanggah dengan peraturan negara.
MELAKSANAKAN SIASATAN RAPI
“Saya telah mengarahkan pihak berkuasa untuk segera melaksanakan siasatan rapi, dan memastikan dalang serta pelaku yang terlibat dibawa segera ke muka pengadilan,” katanya.
Beliau berkata keselamatan dan kesejahteraan rakyat, serta integriti pasukan keselamatan negara, adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
“Kerajaan sentiasa menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian,” kata beliau.
Saifuddin berkata prinsip ini konsisten dipelihara sejak sekian lama, dengan pelbagai himpunan yang berlangsung tanpa sekatan, selagi mana ia mengikut lunas undang-undang.
“Namun, kebebasan ini hadir bersama tanggungjawab. la menuntut semua pihak untuk mematuhi hukum, adab, serta undang-undang negara,” tambah beliau.
Beliau berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana usaha menyalahgunakan hak berhimpun untuk tujuan politik sempit, mencetuskan suasana tidak tenteram, atau menghasut kebencian melalui maklumat palsu. – JM
