





Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
13 SEPT. 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu agensi-agensi agama terus mara ke hadapan, menyumbang dalam arus kemajuan teknologi, tanpa mengabaikan asas kemanusiaan yang luhur.
Beliau berkata kemuliaan insan (Karamah Insaniyyah) bukan diukur pada persepsi atau emosi semata-mata, tetapi pada ilmu, akhlak, pemikiran, dan integriti yang dibina atas asas al-Quran dan as-Sunnah.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia 2025 (IJPAM 2025), dengan Johor sebagai tuan rumah pada tahun ini.
PENYATUQN ADALAH ASAS
Dalam ucapan, Anwar turut menekankan bahawa penyatuan adalah asas penting dalam pembangunan negara dan masyarakat.
“Firman Allah SWT dalam Surah Al-Saff menggambarkan kekuatan ummah yang bersatu seperti bangunan yang tersusun kukuh yakni satu perumpamaan yang sangat mendalam dan relevan dengan konteks kita hari ini,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Perdana Menteri juga melancarkan MySPPIM 2.0, portal baharu Sistem Pengurusan Perkahwinan Malaysia yang diperbaharui dengan ciri-ciri pintar, integrasi bersama pelbagai agensi agama di peringkat persekutuan dan negeri ke arah sistem pengurusan yang lebih efisien dan inklusif, berasaskan kecerdasan buatan (AI). – JM
