






Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
17 SEPT. 2025
Malaysia terus melangkah dengan kekuatan baharu apabila Pulau Pinang dan Johor muncul sebagai gergasi industri, Sarawak sebagai hab tenaga serantau dan Sabah dengan potensi pertumbuhan tertinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setiap negeri mempunyai peranan untuk kemakmuran Malaysia.
Beliau berkata kerangka MADANI mengimpikan kemajuan yang seimbang dengan ekonomi rancak tetapi bersulamkan ihsan, rahmah dan nilai kemanusiaan.
“Kita mahu negara ini maju dalam teknologi dan tenaga baharu, namun jangan sesekali kita tinggalkan budaya, budi pekerti dan karamah insaniah,” kata beliau dalam hantaran di FB.
SAMBUTAN HARI MALAYSIA
Terdahulu Anwar meraikan Sambutan Hari Malaysia di Pulau Pinang bersama sahabat dari Sarawak dan Sabah serta seluruh Semenanjung.
Beliau juga menyampaikan hadiah kepada peserta gerakan Bersama Malaysiaku yang dilancarkan sejak Julai lalu.
Perdana Menteri berkata Hari Malaysia bukan sekadar memperingati tarikh keramat 16 September, tetapi untuk kita menyingkap lembaran pengorbanan bapak-bapak dan ibu-ibu kita dari Semenanjung, Sabah hingga Sarawak yang berjuang menolak penguasaan asing dan menuntut kebebasan yang bermaruah.
LAHIR DARIPADA DARAH
Beliau berkata kemerdekaan ini lahir daripada darah, air mata dan keringat, hasil perjuangan yang panjang dan penuh derita melawan kolonialisme dan imperialisme.
“Kita wajib mengenang keikhlasan dan ketabahan generasi terdahulu yang merintis jalan ini untuk kehidupan yang kita nikmati hari ini,” katanya.
Beliau berkata wawasan mereka jauh mendahului zaman.
“Tokoh-tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Temenggung Jugah, Tun Mustapha dan Tun Fuad Stephens bersama ramai lagi pejuang telah menyatukan kepelbagaian untuk membentuk Malaysia yang berdaulat,” kata beliau.
CABARAN PASCA KEMERDEKAAN
Namun beliau berkata cabaran pasca kemerdekaan menuntut lebih daripada sekadar mengganti wajah penjajah.
“Apa gunanya penjajah diusir, jika penguasa tempatan yang menggantikannya berperangai sama – tamak haloba, rakus, menghina warna kulit dan menggunakan kekuasaan untuk meragut kekayaan?,” kata beliau.
“Inilah warisan sikap penjajah yang masih berterusan hingga kini,” tambah beliau.
Anwar berkata kemerdekaan sejati bukan sekadar bebas jasad, tetapi merdeka jiwa dan pemikiran. Ia harus dibina dengan nilai, akhlak dan tatakelola yang baik, bukan dengan mengulangi kerakusan penguasa terdahulu.
PERPADUAN ADALAH TONGGAK
“Dalam Malaysia yang merdeka, perpaduan adalah tonggak. Hak Melayu dan Bumiputera dijamin dalam Perlembagaan, tetapi kemajuan negara juga mesti berpaksikan kesaksamaan peluang bagi semua,” katanya.
Beliau berkata inilah yang membezakan kita daripada prasangka dan diskriminasi penjajah.
“Hari ini kita berdepan cabaran baharu. Dunia sedang bergolak, termasuk konflik di Palestin yang terus meragut nyawa,” kata Perdana Menteri.
Pengajarannya jelas, kata Anwar hanya dengan bersatu, merapatkan jurang kaum, agama dan wilayah, kita mampu pertahankan kedaulatan negara tercinta. – JM
