Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta perlu perkukuh hubungan dengan Indonesia – Raja Muda Perlis

Wartawan JM
18 SEPT. 2025

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan pesanan agar Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta terus memperkukuh hubungan diplomatik dengan Indonesia.

Baginda bertitah pihak kedutaan memainkan peranan penting bukan sahaja dalam menjaga kepentingan politik serta ekonomi negara malah sebagai institusi utama yang mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia dan Indonesia.

“Ia perlu menjadi jambatan yang memperkukuh persefahaman, kerjasama dan persahabatan antara kedua-dua negara di semua peringkat,” titah baginda semasa berkenan berangkat ke Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga bertitah kesejahteraan rakyat Malaysia, pelajar, pekerja serta ahli perniagaan yang memerlukan sokongan kedutaan perlu diutamakan.

MEMPUNYAI RAMAI PELAJAR

“Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sendiri mempunyai ramai pelajar dan rakan kerjasama di Indonesia, justeru peranan kedutaan amat penting dalam memperkukuh jaringan pendidikan serta penyelidikan.

“Perlis sebagai negeri yang penuh dengan aspirasi, sentiasa terbuka menerima kehadiran mahasiswa serta penyelidik dari Indonesia, dan UniMAP pula komited untuk memperluas jaringan kolaborasi akademik kerana kita percaya bahawa pendidikan adalah jambatan terbaik untuk menyatukan umat serumpun,” titah baginda selaku Tuanku Canselor UniMAP.

Turut berangkat dalam lawatan rasmi sempena UniMAP International Leadership Mobility 2025 itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP.

Tuanku Syed Faizuddin Putra, yang meluangkan masa bersama Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, turut bertitah isu seperti tenaga kerja, persempadanan serta persaingan ekonomi serantau memerlukan kebijaksanaan diplomasi.

JIRAN YANG DITAKDIRKAN

“Justeru, saya berpesan agar hubungan Malaysia-Indonesia diurus dengan semangat kekeluargaan kerana kita adalah jiran yang ditakdirkan untuk saling melengkapi, bukan bersaing secara merugikan.

“Dalam dunia yang penuh dengan cabaran global iaitu perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi, perkembangan teknologi kecerdasan buatan serta isu keselamatan serantau, kerjasama erat Malaysia dan Indonesia menjadi semakin penting dan strategik,” titah baginda.

Baginda juga menzahirkan kepercayaan bahawa universiti dan institusi pendidikan tinggi boleh menjadi penggerak penting hubungan dua hala Malaysia-Indonesia kerana ia mampu melahirkan generasi baharu yang berfikiran terbuka serta berkemahiran global. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *