






Wartawan JM
18 SEPT. 2025
Program pertukaran pelajar Malaysia dengan pelajar antarabangsa dilihat mampu memperkukuh hubungan dua hala antara negara, selain memberi nilai tambah dari segi akademik dan budaya kepada peserta.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata inisiatif itu turut memupuk persefahaman antara budaya, mengeratkan hubungan diplomatik serta membolehkan pelajar menjadi duta kecil dalam mempromosi negara masing-masing.
“Pertukaran pelajar ini amat penting kerana mereka adalah generasi masa depan. Kita berharap melalui aktiviti seperti ini, mereka dapat menimba pengalaman baharu, memahami budaya serta cara berfikir rakyat negara luar.
MEMBANTU PIHAK KEDUTAAN
“Secara tidak langsung ia juga membantu pihak kedutaan menjalankan tugas mempromosi dan menjaga kepentingan Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas menghadap Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di Kedutaan Besar Malaysia di sini, hari ini.
Turut berangkat pada lawatan rasmi sempena UniMAP International Leadership Mobility 2025 itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP.
Syed Mohamad Hasrin memaklumkan setakat ini seramai 1,175 pelajar Malaysia berdaftar di Indonesia dalam pelbagai bidang termasuk veterinar, pengajian Islam dan pergigian.
PENGHARGAAN TERHADAP KEPRIHATINAN
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan Raja Muda dan Raja Puan Muda terhadap kebajikan rakyat Malaysia di perantauan, termasuk pelajar, diaspora profesional serta komuniti Malaysia yang menetap di Indonesia.
“Semoga dengan keberangkatan ini, hubungan erat yang telah terjalin terus diperkukuh demi manfaat bersama,” katanya.
Beliau berkata selain program pertukaran pelajar, jelajah ilmu seperti lawatan delegasi UniMAP ke kedutaan turut memberi pendedahan kepada pelajar untuk memahami budaya luar.
MENAIKKAN JALUR GEMILANG
“Menjadi keunikan bagi kami apabila semalam kami mengadakan program menaikkan Jalur Gemilang bersama rakyat Malaysia dan hari ini berpeluang sekali lagi menyambut Hari Malaysia bersama delegasi UniMAP.
“Kami turut memberi penerangan kepada pelajar mengenai peranan kedutaan dalam mempromosi serta menjaga kepentingan negara, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Indonesia,” katanya. – JM
