


Putrajaya, 25 September – Legasi yang ditinggalkan oleh pesara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diteruskan oleh pegawai yang masih bertugas, bukan ditinggalkan kepada mereka yang tidak berguna.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Haji Azam Baki berkata, pesara dan bakal pesara mahu melihat perkembangan yang positif kepada hasil kerja keras mereka selama ini dalam meningkat dan menaikkan imej SPRM di mata masyarakat.
“Kita terutama sekali pegawai-pegawai kanan perlu meneruskan legasi dengan menggembleng tenaga dan fikiran untuk masa hadapan SPRM.
PERSARAAN BUKAN TITIK NOKTAH
“Persaraan bukanlah suatu titik noktah, tetapi suatu penghijrahan. Persaraan adalah sebuah perjalanan dan permulaan baharu dalam siri episod kehidupan. Oleh itu, jadikan kehidupan baharu yang bakal dilalui ini sebagai satu kehidupan yang lebih bermakna,” katanya dalam Majlis Persaraan SPRM Tahun 2025 di Grand Ballroom, Hotel Zenith, di sini, hari ini.
Beliau dalam ucapannya turut memetik kata-kata Mahatma Ghandi “A man is but the product of his thoughts; what he thinks, he becomes” yang menekankan bahawa tindakan, keperibadian dan kehidupan seseorang dibentuk oleh kualiti pemikiran mereka.
Katanya, gaya hidup sihat dan cergas meliputi kesihatan mental serta fizikal dapat memastikan kehidupan yang sejahtera selepas bersara.
“Meskipun sudah berehat daripada kesibukan dunia bekerja, tidak bermaksud kita perlu berehat tanpa sebarang aktiviti. Penuhi masa lapang dengan senaman dan rutin harian untuk terus kekal aktif dan bertenaga.
“Setinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan atas segala khidmat bakti yang diberikan selama ini kepada SPRM,” katanya.
Sementara itu wakil pesara SPRM, Dato’ Haji Alias Salim berkata, semua pesara perlu terus memelihara legasi integriti sepanjang berkhidmat di SPRM dengan membawa nilai-nilai baik sepanjang berkhidmat untuk membantu masyarakat.
“Kita akan menjadi pakar rujuk dan pemudahcara kepada masyarakat dalam isu-isu berkaitan rasuah dan integriti. Maka kita semua perlu meningkatkan integriti dan menjaga imej sebagai pesara SPRM,” katanya.
Majlis yang bertemakan “Menjunjung Integriti, Legasi Abadi” diadakan bagi meraikan seramai 26 orang pesara dan bakal pesara SPRM bagi tahun 2025.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA), Puan Sri Normah Mohd Zin; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Azmi Kamaruzaman; Timbalan Pengerusi III PUSPANITA SPRM, Datin Saliza Mohd Zillah; Pengerusi Persatuan Bekas Pegawai (PBP) BPR/SPRM, Dato’ Mazlan Mohamad; Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM, pesara-pesara yang diraikan dan ahli PBP BPR/SPRM.
