




Laporan oleh Sholina Osman dari Medan, Indonesia
25 SEPT. 2025
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini dianugerahkan Doktor Kehormat, (Doktor Honoris Causa) oleh Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) Medan, Indonesia.
Selain penganugerahan akademik tersebut, Raja Muda Perlis turut dianugerahkan Anugerah Bintang Tertinggi Muhammadiyah (Anugerah Mitra Lestari Muhammadiyah Internasional) oleh Pimpinan Pusat Muhammadiyah.
Ia sebagai tanda penghormatan atas sumbangan besar Baginda dalam memperkukuh kerjasama pendidikan, dakwah, kemasyarakatan, serta hubungan persaudaraan antarabangsa.
Berkenan hadir Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
KEHADIRAN KEPIMPINAN TERTINGGI
Majlis penuh gemilang yang berlangsung di Auditorium UMSU, Medan dengan kehadiran kepimpinan tertinggi universiti serta Pimpinan Pusat Muhammadiyah, termasuk Prof. Dr. H. Haedar Nashir.
Semasa bertitah Raja Muda menyifatkan penganugerahan Doktor Honoris Causa dan penghargaan dari
Muhammadiyah ini merupakan satu penghormatan yang sangat besar.
“Saya sedar bahawa anugerah ini bukan hanya untuk diri saya, tetapi juga sebagai pengiktirafan terhadap usaha bersama dalam pendidikan, dakwah, dan khidmat masyarakat,” titah Baginda.
PENGIKTIRAFAN INI JUGA
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah pengiktirafan ini juga turut melibatkan Kerajaan Negeri Perlis serta organisasi-organisasi yang bersama saya iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP),
Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ),
Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku
Fauziah (YTF), Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE), Rejimen 504 Askar Wataniah dan lain-lain lagi.
Baginda juga menzahirkan ucapan syabas dan tahniah atas pencapaian UMSU yang meraih tempat pertama Universiti Islam terbaik dunia menurut 4ICU 2025.
“Pencapaian ini menunjukkan satu bukti komitmen terhadap
pendidikan berkualiti dan nilai Islam yang unggul,” titah Baginda.
Baginda berharap UMSU terus mengekalkan momentum kecemerlangan ini dan terus menjadi medan lahirnya graduan serta barisan
kepimpinan yang berwibawa, berilmu dan berakhlak mulia. – JM
