






Laporan oleh Sholina Osman dari Medan, Indonesia
25 SEPT. 2025
Raja Muda, Raja Puan Muda Perlis hari ini berkenan menerima anugerah tertinggi oleh Yayasan Ubudiyah Indonesia dan Universitas Deztron Indonesia (UDI) Medan.
Majlis sambutan penuh gemilang ini diadakan sempena dengan penganjuran International Conference on Holistic Opportunities for Poverty Empowerment (ICOHOPE) oleh Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) di Medan, Indonesia.
Sebelum itu kedua Baginda telah diarak masuk ke dewan Universitas Deztron Indonesia sebelum anugerah tertinggi berkenaan disampaikan.
DIPILIH MENERIMA
PENGANUGERAHAN
Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah dipilih menerima penganugerahan Anugerah Dewan Kehormatan Tertinggi Ubudiyah.
Penyematan anugerah ke atas Baginda telah dilakukan oleh Ketua Yayasan Ubudiyah Indonesia Bapak Dedi Zefrizal, S.T. yang diiringi oleh Prof Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin Penasihat Yayasan Ubudiyah Indonesia.
Manakala Raja Puan Muda Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil pula menerima Anugerah Bakti Mulia Ubudiyah yang telah disematkan oleh Rektor Universitas Deztron Indonesia Prof. Adjung Dr. Marniati S.E. M Kes.
ANUGERAH YANG DIBERIKAN
Dalam ucapannya Dr Marniati berkata anugerah yang diberikan kepada Raja Muda dan Raja Puan Muda ini adalah merupakan anugerah tertinggi oleh Yayasan Ubudiyah Indonesia dan UDI.
“Anugerah ini hanya sekali yang diberikan dan biasanya melibatkan Raja atau ketua negara,” katanya.
Beliau berkata anugerah tersebut sebagai penghormatan atas kepimpinan bijaksana dan sumbangan diperingkat antarabangsa oleh Baginda.
ADALAH SIMBOL TANGGUNGJAWAB
Sementara itu Tuanku Syed Faizuddin Putra semasa bertitah menyifatkan pengiktirafan dari Universitas Deztron Indonesia ini adalah simbol tanggungjawab yang luhur dan suci.
Baginda bertitah ia adalah sebagai pengiktirafan dalam usaha memartabatkan pendidikan, memelihara kebajikan, serta menegakkan kepimpinan berwawasan.
“Amanah ini memperteguh
iltizam Raja Puan Muda Perlis dan saya sendiri untuk terus
berkhidmat, mengangkat martabat ilmu dan menyinari kehidupan
umat dengan cahaya harapan, InshaAllah,” titah Baginda. – JM
