Kekuatan ekonomi negeri jadi penyumbang ekonomi negara – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
1 OKT. 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada sesi wacana Belanjawan 2026 bersama pemain industri dan penggerak sektor pelancongan dan pembuatan sebaik tiba di Melaka.

Beliau berkata ia menjadi bukti bahawa kekuatan ekonomi negeri dapat menjadi antara penyumbang kepada kekuatan ekonomi negara secara menyeluruh.

“Tahniah kepada kepemimpinan negeri Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh dan seluruh pemain industri yang gigih dan cekal menongkah cabaran,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

Perdana Menteri memberi penekanan bahawa dalam merencana dasar dan kebijakan ekonomi negara, kita tidak seharusnya terpukau, malah terikat dengan ‘economic prescription’ teori ekonomi semata.

BOLEH MENJADI PEMBIMBING

“Tokoh ekonomi klasik Adam Smith dan John Maynard Keynes boleh menjadi pembimbing, tapi ia mesti disulam dengan hikmah dan ihsan agar aspek kesejahteraan rakyat itu tercakup dengan mantap,” kata beliau.

Dalam premis yang sama, kata beliau ia turut terkait dalam usaha Kerajaan mensasarkan semula subsidi dan harga petrol RON95, dan mencari kaedah dan wahana yang lebih lunak untuk melaksana, iaitu dengan menetapkan harga yang murah kepada semua.

Bermakna kita memberi pilihan kepada rakyat untuk menerima atau tidak menerima subsidi.

Namun, apa yang penting, warga yang memerlukan subsidi tidak ada alasan lagi untuk tidak menikmatinya, dan dalam masa yang sama mencantas ketirisan dan kebocoran dana awam.

BERDEPAN SUASANA EKONOMI

“Saya tegaskan bahawa Malaysia hari ini berdepan suasana ekonomi global yang tidak menentu,” kata beliau.

Namun, berkat kestabilan politik serta kepercayaan teguh para pelabur, maka kita terus mencatat pertumbuhan yang mampan.

Sektor E&E, semikonduktor, digital, dan tenaga baharu pula menjadi pemacu masa depan, dengan Melaka antara negeri ‘forefront’ yang konsisten menarik minat pelabur antarabangsa.

Begitu juga halnya dalam geopolitik dan hubungan luar, serta peranan diplomasi Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa.

TIDAK PERNAH SESEKALI

Malaysia tidak pernah sesekali tergoncang prinsip tegas kita, terutama dalam isu melibatkan warga Palestin yang dizalimi di Gaza.

Meski ada kuasa besar yang tidak semestinya berkongsi pendirian dengan kita, termasuk Amerika Syarikat, itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk negara menutup sama sekali ruang diplomasi untuk terus menyuarakannya dengan lantang dan tegas.

Kita juga ada isu yang mungkin tidak sehaluan dengan pendirian kita, samada China, atau India, atau negara-negara tetangga dalam ASEAN mahupun Eropah, contohnya.

Namun, ruang wacana masih ada untuk cuba berusaha mencari titik temu, dan dalam masa yang sama mengimbanginya dengan keperluan ekonomi negara.

MENGORBANKAN KEKUATAN EKONOMI

Sekiranya jalan konflik dipilih, apakah kita bersedia untuk mengorbankan kekuatan ekonomi negara, sebagai contoh, ratusan bilion eksport semikonduktor ke Amerika Syarikat atau China. Akan timbul persoalan bahawa, “who are we actually punishing? Our own people or the intended parties?”.

Maka, Malaysia sebagai negara yang berdagang tidak seharusnya menutup pintu ruang dagang hanya kerana perbezaan politik atau dasar luar.

Ekonomi Malaysia bergantung kuat kepada rantaian ekonomi global.

Kebijaksanaan menyeimbangkan pendirian moral dengan kepentingan ekonomi adalah kunci dan kayu ukur utama.

Keupayaan untuk mengekalkan keseimbangan inilah yang meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang relatifnya kecil tapi suaranya lantang dan tegas di peringkat antarabangsa. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *