MAIPs sifatkan tidak wajar sukarelawan bantuan kemanusiaan ditahan – Raja Muda

Oleh: Sholina Osman
2 OKT. 2025

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyifatkan adalah tidak wajar sama sekali bagi sukarelawan yang menghulurkan bantuan kemanusiaan ditahan dan dihalang daripada melaksanakan misi mereka.

Raja Muda Perlis selaku Yang DiPertuanya Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah lebih mendukacitakan lagi sekiranya diperlakukan apa yang tidak sewajarnya.

“Tindakan ini jika benar, jelas bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan prinsip hak asasi manusia,” titah Baginda dalam kenyataan rasmi pada petang ini.

Terdahulu Baginda mempengerusikan Persidangan MAIPs Bil. 5/2025 yang bersidang pada 2 Oktober 2025 membincangkan mengenai perkembangan terkini yang berlaku ke atas para Sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) di persempadanan Gaza, Palestin.

SEBAGAI TANDA SOLIDARITI

Tuanku Syed Faizuddin bertitah di negeri Perlis tercinta, seluruh masjid telah melaksanakan bacaan Qunut Nazilah sejak 8 April 2025 sebagai tanda solidariti dan doa kepada saudara-saudara kita di Palestin.

Titah Baginda sayugia MAIPs menyeru agar umat Islam, khususnya rakyat Perlis, terus memperteguhkan doa, memperbanyakkan amal soleh, serta bersatu hati dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin yang ditindas.

“MAIPs juga menyeru seluruh dunia tanpa mengira bangsa, agama dan negara agar berusaha sedaya upaya memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan selamat, tanpa sebarang sekatan atau penindasan, demi menyelamatkan nyawa dan meringankan penderitaan rakyat Palestin,” titah Baginda.

“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, kesabaran dan kemenangan kepada umat Islam di Palestin, serta melindungi para sukarelawan yang berjuang demi kemanusiaan,” titah Baginda lagi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *