

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
3 OKT. 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pendidikan Negara (MPN) yang membincangkan hala tuju besar pendidikan kita, daripada Terma Rujukan MPN, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2026-2035, Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026-2035 hingga Semakan Semula Mata Pelajaran Umum (MPU).
“Saya tegaskan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bahawa reformasi pendidikan tidak boleh dilaksanakan bersendirian, sebaliknya mesti merangkul seluruh kekuatan dan menghubungkan inovasi, sosial, kecerdasan buatan (AI), agama dan nilai kemasyarakatan, agar pendidikan benar-benar memerdekakan jiwa, membina identiti dan membentuk pemikiran bangsa,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Beliau menjelaskan cabaran kita ialah menggapai langit dalam pendigitalan dan AI, sambil mengakar ke bumi dengan nilai, budaya dan agama yang membentuk kerangka pemikiran bangsa. Inilah keseimbangan yang mesti kita pelihara.
“Saya turut tekankan agar Jawatankuasa MPN memperhalusi isu-isu mendesak seperti pelaksanaan STEM, AI, penguasaan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah, termasuk kedudukan sekolah agama serta pondok, sambil memperkukuh sinergi universiti dengan Akademi Sains Malaysia (ASM) demi membina masa depan pendidikan yang berdaya saing dan berakar pada jati diri,” tambah beliau. – JM
