

Wartawan JM
4 OKT 2025
Sebanyak 23 aktivis dan sukarelawan rakyat Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotila (GSF) ke Gaza yang ditahan rejim Zionis sejak Khamis, telah dibebaskan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kumpulan itu akan dibawa keluar dari Israel hari ini dengan menggunakan sebuah pesawat khas ke Istanbul, Tukiye.
Beliau berkata kesemua mereka sesang dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Ramon di Selatan Israel.
“Dengan rundingan saya bersama pihak Ketua Risikan Malaysia yang berada di Ankara untuk penyelarasan bersama Duta Besar dan Kedutaan
Malaysia di Ankara, lebih baik mereka menginap di Istanbul sekitar satu atau satu setengah hari untuk
pemeriksaan kesihatan akibat trauma dan tekanan daripada tindakan keras dan zalim Israel,” katanya dalam siaran langsung (live) di FB.
“Saya setuju dan mereka akan berlepas pulang (ke Malaysia) mungkin esok malam ataupun lusa,” katanya.
Anwar yang juga penaung misi Sumud Nusantara menegaskan bahawa kejayaan membebaskan dan membawa pulang 23 rakyat Malaysia daripada tahanan rejim Zionis, adalah hasil rundingan diplomatik yang panjang.
Beliau berkata proses pembebasan tersebut melibatkan koordinasi erat pada peringkat antarabangsa termasuk melalui perbincangan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio dan Kerajaan Jordan, pserta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Utusan Khas AS ke Timur Tengah Steve Witkoff.
Perdana Menteri berkata kejayaan itu juga adalah hasil rundingan beliau sendiri bersama Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani serta Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Ketua Keselamatan Negara Turkiye Dr Ibrahim Kalin.
Perdana Menteri berkata perancangan dan rundingan membawa pulang dan menyelamatkan semua mangsa tidak hanya terbatas kepada keselamatan delegasi daripada Malaysia dan
Turkiye sahaja.
“Kita juga bicara tentang semua, termasuk Eropah dan rakan-rakan Indonesia dan lain-lain negara yang bersama-sama dalam rombongan Sumud Flotila ini,” kata Perdana Menteri. – JM
